
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya menilai untuk
mewujudkan tabung pemuliharaan hutan simpan, terutama kepada negeri yang terpaksa menanggung kos peluang ataupun ‘forgone revenue’ ini kerana tidak membalak dan sebagainya.
Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengemukakan demikian ketika mencelah sesi jawapan dan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tegas beliau, pemuliharaan ekosistem hutan simpan ini khususnya hutan simpan yang menjadi sumber bekalan air di beberapa buah negeri amat penting dikekalkan dan wajar menerima pembayaran atas pengekalan itu.
Beliau mengemukakan contoh khusus saya di daerah Sik di mana Hutan Simpan Ulu Muda seluas 160,000 hektar menghasilkan sumber air kepada Kedah, dan juga Pulau Pinang serta Perlis.
“Namun, Kedah sendiri kesannya hasil kepada negeri itu sangat kurang. Namun, negeri yang mendapat hasil air itu termasuk Pulau Pinang, mereka mendapat air yang murah dan manfaat yang besar.
“Jadi, perlu dilihat bagaimana kita nak membantu negeri-negeri ini supaya maknanya, pembayaran perkhidmatan ekosistem itu dapat dilihat sebagai satu alternatif dan Kerajaan Persekutuan menjadi orang tengah.
“Kita kata, sebagai proses untuk menimbang balik bahawa setiap negeri itu ada manfaat yang besar apabila kita mengekalkan hutan-hutan simpan kita ini,” ujarnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan bahawa ada peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri untuk menjaga hutan mereka.
“Ada peruntukan diberi kerajaan negeri. Saya tidak ada ‘figures’ dekat sini, tetapi yang saya tahu memang setiap negeri yang kita bagi peruntukan untuk dia ‘protect some of the’, kita punya hutan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2025











