
IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, negara kini sedang berdepan dengan defisit keyakinan yang amat serius dalam kalangan rakyat dan pelabur akibat kelemahan pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, krisis ini semakin ketara apabila kebangkitan rakyat menuntut keadilan terhadap kes Allahyarhamah adik Zara Qairina mencerminkan kegagalan kerajaan mengurus konflik dan krisis, sehingga menimbulkan keresahan mendalam dalam masyarakat.
“Krisis keyakinan ini bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, malah turut menjejaskan pandangan pelabur asing terhadap Malaysia baik dalam jangka masa pendek mahupun panjang,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, fakta terkini membuktikan kegagalan kerajaan mengurus ekonomi apabila pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia bagi suku kedua 2025 merudum kepada hanya RM1.6 bilion, penurunan lebih 80 peratus berbanding RM15.6 bilion pada suku pertama 2025.
“Angka ini juga jauh lebih rendah berbanding suku kedua 2024 (RM9.08 bilion) dan bahkan lebih rendah daripada suku kedua 2023 (RM1.63 bilion). Jika tidak mengambil kira tempoh COVID-19, ini adalah paras FDI terendah dalam 16 tahun,” jelasnya.
Lebihan akaun semasa negara pula katanya, hanya mencatatkan RM264.9 juta atau sekitar 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1999.
Razman turut membidas kerajaan yang dikatakan hanya ‘bermain angka’ dengan pelbagai pengumuman tanpa realiti sebenar di lapangan.
“Walaupun menteri mendakwa 80 peratus pelaburan yang diumumkan telah direalisasikan, data rasmi Bank Negara membuktikan sebaliknya, dengan FDI hakiki menjunam lebih 80 peratus suku-ke-suku.
“Jurang besar antara potensi di pentas dan realiti dalam buku kira-kira menambahkan lagi krisis keyakinan ini,” katanya.
Beliau menegaskan, pelaburan asing negara terlalu bergantung kepada beberapa negara sahaja seperti Singapura, Jepun dan United Kingdom, dengan fokus sempit pada sektor kewangan serta pusat data.
“Walaupun diumumkan projek bernilai berbilion ringgit, realisasi sebenar masih di bawah RM1 bilion. Krisis keyakinan ini jika berterusan akan membawa negara ke arah kegelapan masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan untuk memastikan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kehakiman benar-benar bebas serta bertindak profesional tanpa campur tangan politik.
“Rakyat perlu merasakan mereka selamat dan terjamin, bukannya melihat pemberi maklumat pula yang didakwa dan disiasat. Ini penting agar kestabilan politik negara dapat dipulihkan dan keyakinan pelabur kembali meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, Razman menyeru kerajaan segera merombak strategi ekonomi dan pelaburan negara dengan memberi fokus kepada reformasi tatakelola serta mengurangkan gimik angka.
Sebaliknya tegas beliau, memastikan pelaburan benar-benar direalisasikan serta menegakkan keadilan dalam kes Zara Qairina sebagai simbol kemanusiaan yang mesti dijunjung. – HARAKAHDAILY 19/8/2025











