
KUALA LUMPUR: Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), hari ini membangkitkan persoalan mengenai paradoks antara perkembangan ekonomi negara dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat, khususnya golongan B40.
Beliau menekankan bahawa kos makanan siap masak terus meningkat, dan rakyat mula merasakan tekanan tambahan akibat langkah kerajaan seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), penyusunan semula tarif elektrik serta penghapusan subsidi bahan api.
“Sangat mengharapkan jawapan Yang Berhormat Menteri, bagaimana kerajaan begitu yakin dalam memberikan jaminan dalam setiap tindakan seperti peluasan SST, pengstrukturan tarif elektrik dan penghapusan subsidi bahan api tidak akan menambahkan tekanan kos sara hidup.
“Sedangkan kalau kita tengok semua tindakan yang dibuat ini menyebabkan berlaku kenaikan dalam beberapa harga barang dan menghakis kuasa beli rakyat yang berpendapatan rendah,” tegas beliau.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib menegaskan, kerajaan sedang berusaha memastikan keseimbangan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan, perumahan, kawalan harga makanan dan langkah-langkah sokongan lain bagi meringankan beban rakyat.
“Apa yang kerajaan dapat laksanakan, kita cuba buat yang terbaik. Namun cabaran ekonomi memang besar. Jika ada cadangan tambahan yang baik, kerajaan sedia mendengar dan menelitinya,” ujar beliau.
Terdahulu, Ustaz Fawwaz dalam soalan asalnya meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana dasar ekonomi Madani dapat membantu rakyat, sedangkan kadar pertumbuhan upah tidak mengatasi kadar inflasi semasa dan kenaikan kos sara hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 19/8/2025











