Rizab Pulau Pinang menyusut, ke mana belanja RM1 bilion?

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pulau Pinang kini berdepan krisis kewangan apabila rizab tunai kerajaan negeri didakwa merosot hampir 95 peratus, daripada RM1.15 bilion pada tahun 2019, kini tinggal hanya sekitar RM50 juta pada tahun 2024.

- Advertisement -

Penyusutan mendadak itu menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan rakyat terhadap keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui DAP di sebalik slogan Kompetensi, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (CAT)

Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid menegaskan, situasi itu jelas membuktikan kegagalan kerajaan negeri mentadbir urus kewangan secara berhemah walaupun sering melaungkan prinsip CAT.

“Dalam tempoh lima tahun lebih RM1 bilion rizab negeri hilang, tetapi rakyat tidak melihat sebarang peningkatan ketara dalam pembangunan. Soalnya, ke mana wang rakyat ini dibelanjakan?” soal beliau.

Menurutnya, rizab tunai sepatutnya menjadi benteng kewangan negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan, namun kini hampir lenyap sehingga meletakkan rakyat dalam keadaan gusar.

“Adakah masalah perumahan rakyat selesai? Adakah sistem pengangkutan awam lebih baik? Atau wang ini lesap dalam projek mega yang tidak menguntungkan rakyat? Kerajaan negeri perlu jawab,” desak beliau.

Anas Soffy berkata, kerajaan negeri lebih sibuk dengan projek-projek mega yang membebankan rakyat, selain menggadaikan tanah kepada pemaju tanpa perancangan ekonomi mapan.

“Pulau Pinang bukan sahaja kehilangan rizab, malah turut kehilangan hala tuju pembangunan. Apa yang berlaku adalah bukti jelas kerajaan negeri gagal mengekalkan disiplin kewangan.

“Rakyat berhak tahu ke manakah perginya lebih RM1 bilion wang negeri dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh terus berdiam diri dan wajib memberikan penjelasan kepada rakyat tentang setiap sen wang negeri yang dibelanjakan.

“Rakyat Pulau Pinang tidak boleh terus diperdaya dengan retorik politik. Negeri ini memerlukan pentadbiran yang benar-benar telus, beramanah dan berhemah dalam mengurus kewangan rakyat.

“Jika tidak, Pulau Pinang akan terus terjerumus dalam kegagalan pentadbiran yang parah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -