Peranan ulama dan gerakan Islam dalam sejarah perjuangan Merdeka

- Advertisement -

DALAM buncahan keghairahan menyambut kemerdekaan kali ke-68 negara ini, pelbagai program telah dibuat oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak Kerajaan Negeri yang berseberangan ideologi. Segalanya meriah dengan musim menarik pesona rakyat kerana persaingan demokrasi yang meriah, antaranya himpunan RXZ di Kuala Terengganu yang mendapat dana Persekutuan sebanyak RM100,000 dengan syarat pengibaran Jalur Gemilang! Khabarnya, tahun ini tiada ulangan cerita patriotik seperti Bukit Kepong, juga filem perjuangan ulama mendobrak tirani seperti The Lion of the Desert.

Persaingan meluaskan pengaruh adalah normal, termasuk bertindan niat untuk memastikan penguasaan masing-masing semakin kukuh untuk memerintah negara dan juga negeri. Beragam program dijayakan, sama ada himpunan patriotik, acara pesta pora sempena HUT kemerdekaan, majlis keagamaan, sukan sempena Merdeka atau apa sahaja keramaian serta penyiaran filem-filem patriotik yang kadang kala tersasar daripada lukisan sejarah yang sebenar, naratif sejarah yang masih menyepikan peranan ulama.

Dalam kita memutar kembali sejarah perjuangan yang berat sebelah ini, peranan ulama dan gerakan Islam dikesampingkan dan disepikan daripada pengkisahan perjuangan kemerdekaan. Tidak kepalang pengorbanan para ulama dan Islamis dalam menoreh sejarah emas perjuangan; ada yang gugur syahid, dibuang jauh dari tanah leluhur dan terpenjara jasad dalam jeriji besi.

- Advertisement -

Tahun lepas, filem bioepik, Mat Kilau, berjaya meruak hati rakyat untuk melihat kembali sejarah perjuangan kemerdekaan bernuansakan jihad menentang imperialis Barat. Walaupun jauh ditinggalkan oleh pemain industri filem Indonesia namun sekurangnya filem tersebut menyapu kegersangan filem yang menampilkan agamawan pendekar di negara ini.

Rakyat negara ini masih belum mengenali Tuan Guru Hasan Munas (Tok Janggut), Tokku Paloh, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Musa Minangkabau, Tuan Guru Umar Siam, Datuk Maharajalela (Timbalan Mufti), serta ratusan nama ulama dan agamawan  yang lain. Gerakan awal kemerdekaan seperti Sarekat Islam Terengganu yang memicu kebangkitan umat di Terengganu.

Langit sejarah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemuculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Peranan agamawan melalui sektor pendidikan, penerbitan dan pemberdayaan kesedaran melalui gerakan massa. Tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al Helmy, Tok Kenali, Maulana Abdullah Nuh, Syed Sheikh al Hadi, serta pelbagai tokoh kaum tua dan kaum muda memberikan kesedaran kepada ummah mengenai kewajiban memerdekakan tanah watan.

Islam telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh banyak peristiwa kebangkitan rakyat di Tanah Melayu seperti Perang Padang Kachong, Perang Jeram Ampai, pembunuhan residen British JWW Birch, tragedi Natrah 1950, peluncuran Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol pada Mac 1948 serta penangkapan 300 orang aktivis Hizbul Muslimin di bawah Ordinan Darurat 1948.

Di luar Tanah Melayu seperti di Indonesia, Mesir, Libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, India, Palestin, Nigeria dan negara umat Islam yang lain, Islam telah menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajahan Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husaini, Sheikh Izzudin al Qassam di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Imam Ponegoro (Perang Jawa 1825-1830) di Indonesia, Muhammad Abduh yang memotori pemberontakan Urabi di Mesir, Sheikh Abdul Samad alPalimbangi di Pattani dan gerakan al Mahdi di Sudan yang menggentarkan tentera British yang dipimpin oleh General Gordon.

Malangnya, bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendukungnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria, Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan juga di Tanah Melayu sendiri. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Di Mesir, tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al-Banna pada tahun 1928, di subcontinen tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki juga Majlis Syura Muslimin di Indonesia adalah cerminan kepada kebencian terhadap penjajah Barat serta usaha mengembalikan ketuanan Islam.

Sejarah penubuhan PAS pada tahun 1951 adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948. Persatuan Islam se-Tanah Melayu melakarkan perjuangannya untuk memerdekakan Tanah Melayu, menaunginya dengan kehidupan bersyariah!

Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Al-Ehya As-Syariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik Islam  seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (MASYUMI).

Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukungi oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama-agama tradisional.

Pertubuhan politik Islam ini telah mengsasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.

Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja dalam wilayah jajahan British walaupun sesaat.

Menjadi kewajiban untuk kita meluruskan kembali sejarah kemerdekaan tanah air. Malaysia wajib belajar daripada negara jiran kita, Indonesia. Kerajaan dan rakyat Indonesia membina naratif sejarah kemerdekaan yang kukuh apabila semua leluhur yang berjuang menentang penjajah Belanda diangkat sebagai wira sebenar kemerdekaan. Jangan abaikan darah,air mata serta keringat para alim ulama yang berjuang dengan prinsip akidah sehingga watan ini bebas daripada penjajah Barat!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -