Apa pelan fiskal susulan beli Boeing USD9.5 bilion?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta kerajaan menjelaskan pelan kontigensi fiskal sekiranya keputusan terkini dalam aspek perbelanjaan negara menambah beban hutang yang kini berada pada paras tinggi.

Beliau berkata, dalam situasi ketidaktentuan geopolitik, kerajaan dilihat membenarkan hutang negara kekal pada paras antara 60 hingga 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada masa yang sama, Malaysia setuju membeli pesawat Boeing berjumlah USD9.5 bilion serta komitmen USD150 bilion dalam tempoh lima tahun sebagai pertukaran penurunan tarif Amerika Syarikat kepada 19 peratus.

“Soalan saya, apakah pelan kontigensi fiskal kerajaan jika langkah ini menambah beban pembayaran khidmat hutang negara yang kini sudah mencecah hampir 15 hingga 18 peratus daripada hasil tahunan?” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Nik Zawawi berkata, berdasarkan jawapan kerajaan sebelum ini, ia dilihat bergantung kepada pungutan hasil dalam negara serta peningkatan kadar hasil dan cukai, sama ada baharu atau sedia ada.

Menurutnya, langkah itu tidak sepatutnya berlaku kerana memberi tekanan besar kepada kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam jawapannya memberitahu, bahawa pembelian pesawat Boeing adalah sebahagian daripada perancangan dan tidak menjejaskan hutang atau defisit fiskal semasa.

Jelasnya, Menteri Kewangan Kedua telah menjelaskan secara terperinci dalam Rancangan Malaysia Ke-13 mengenai peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM430 bilion.

Tambahnya, segala perbelanjaan itu berada dalam jangkaan kerajaan dan termasuk dalam projek yang telah dirancang.

Nik Muhammad Zawawi dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan justifikasi mendasar dalam membenarkan hutang negara kekal tinggi sekitar 60 peratus hingga 65 peratus daripada KDNK negara.

- Advertisement -

Sedangkan negara katanya, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan persaingan perdagangan yang semakin mencabar ketika ini. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -