
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa setiap individu yang mempunyai hutang wajib melunaskannya kepada pihak yang berhak.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan para peniaga agar sentiasa berpegang kepada prinsip syariah dalam menjalankan perniagaan, disertai dengan rasa takut serta takwa kepada Allah.
Baginda bertitah bahawa hanya melalui pengurusan yang telus dan beretika, barulah sesebuah perniagaan mampu berkembang secara mampan serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
“Bagi terus maju dan berdaya saing, para usahawan di negeri ini perlu sentiasa cakna dengan perkembangan ekonomi global dan memahami kehendak pasaran secara mendalam.
“Serta bersedia untuk meneroka peluang baharu yang seiring dengan perubahan dinamik dunia hari ini,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Penutup Taklimat Usahawan Negeri Perlis.
Program itu anjuran Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di Dewan Sivik Arau, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil dan Datin Marzita Mansorserta Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth.
Kerjasama antara kedua-dua pihak itu disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.
Khususnya dalam memberi sokongan kewangan kepada peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi nadi utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Program ini menghimpunkan seramai 400 usahawan Perlis dengan matlamat memberi pendedahan berkaitan peluang pembiayaan TEKUN Nasional, selain ruang interaksi terus antara usahawan dan pihak TEKUN.
Menurut Datuk Abdullah Sani, sejak penubuhan TEKUN pada 1998 sehingga kini, sebanyak 9,958 usahawan di negeri Perlis telah menerima manfaat pembiayaan berjumlah RM170.6 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, sebanyak 292 pembiayaan bernilai RM6.7 juta telah disalurkan kepada usahawan negeri ini.
“Manfaat TEKUN bukan hanya dari aspek pembiayaan, malah turut menyediakan latihan, kursus dan bimbingan keusahawanan bagi meningkatkan daya saing serta kecekapan peniaga dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut dan menyaksikan simbolik penyerahan replika cek pinjaman TEKUN berjumlah RM125,000 kepada enam penerima yang disempurnakan oleh Pengerusi TEKUN.
Baginda Raja Muda Perlis turut berkenan menyaksikan pertukaran kerjasama strategik antara MPKangar dan TEKUN Nasional.
Baginda menzahirkan harapan agar MPKangar terus berperanan aktif membantu para usahawan negeri ini serta memperbanyak penganjuran program pendidikan dan kesedaran yang mampu memacu keusahawanan Perlis ke tahap lebih gemilang. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











