
KOTA BHARU: Forum Perdagangan Thailand–Malaysia 2025 dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dagang antara Kelantan dan Thailand yang telah lama terjalin.
Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman memberitahi, forum dianjurkan ini memberi tumpuan kepada usaha memperluas jaringan perdagangan rentas sempadan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan Negeri itu berkata, juga untuk memahami peraturan kastam dan imigresen, serta mengenal pasti produk berpotensi untuk dipasarkan di kedua-dua negara.
“Antara produk yang dikenal pasti ialah makanan tradisional Kelantan seperti murtabak raja, kuih-muih tempatan, produk sejuk beku, karipap serta batik Kelantan yang mempunyai motif unik berbeza dengan batik Thailand,” katanya.
Dato’ Md Anizam berucap demikian di majlis Thailand-Malaysia Trade Partnership Forum 2025, di sini.
Beliau menambah, projek infrastruktur seperti pembinaan Jambatan Sungai Golok Kedua dan rancangan sambungan kereta api dari Kelantan ke Thailand dijangka merancakkan lagi hubungan ekonomi serta pelancongan antara kedua-dua negara.
“Konsep Satu Kampung, Satu Industri yang berjaya di Thailand boleh menjadi inspirasi kepada kita di Kelantan. Jika setiap kampung mempunyai produk khas yang diangkat sebagai identiti ekonomi, ia mampu memberi manfaat besar kepada rakyat dan usahawan,” katanya.
Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Phasit Chudabuddhi, pula menegaskan kepentingan memperkukuh perhubungan antara Thailand Selatan dan Malaysia Tenggara melalui forum ini.
Beliau berkata forum ini merupakan inisiatif Konsulat Jeneral Raja Thailand untuk mempromosikan perkembangan dan pelaburan di kedua-dua wilayah serta mempererat hubungan politik dan ekonomi.
“Kelantan berposisi strategik sebagai nexus yang menghubungkan Malaysia Tenggara, Thailand Selatan, serta China dan Asia Selatan. Perkembangan ini membolehkan kedua-dua kerajaan memaksimumkan keuntungan politik dan ekonomi.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan sektor kerajaan, tetapi juga sektor perniagaan dan masyarakat bagi memastikan peluang ekonomi dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya.
Phasit Chudabuddhi berharap forum seperti ini dapat dianjurkan secara berkala bagi memperkukuh kerjasama perdagangan dan memastikan hubungan dua hala terus rapat, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di Kelantan khususnya serta Pantai Timur amnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











