
Soalan:
Benarkah kata setengah orang sedekah boleh menyejukkan mayat di dalam kubur?
Jawapan:
Bermula sedekah adalah antara amalan yang sangat dikasih oleh Allah Taala dan dijanjikan dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Di antara janji Allah bagi orang yang suka bersedekah dan membelanjakan hartanya itu ialah melindunginya daripada kepanasan kubur dan sedekah itu akan meneduhkannya di hari akhirat.
Telah diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ عَنْ أَهْلِهَا حَرَّ الْقُبُورِ، وَإِنَّمَا يَسْتَظِلُّ الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّ صَدَقَتِهِ
Ertinya: “Sungguhnya sedekah itu akan memadamkan dari ahlinya akan kepanasan kubur. Dan bahawasanya akan berteduh seorang mukmin itu pada hari kiamat di bawah teduhan sedekahnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi & At-Tabarani)
Berkata Imam As-Son’ani:
إن الصدقة لتطفئ عن أهلها حر القبور من عذابها أو حرها نفسها لما فيها من الضيق والانسداد
Ertinya: “Bahawasanya sedekah itu memadamkan dari ahlinya kepanasan kubur iaitu dari azab kubur atau dari panasnya kubur itu sendiri kerana di dalam kubur itu sangat sempit dan sesak.” (Kitab At-Tanwir)
Kesimpulannya daripada hadis yang telah disebut di atas serta penjelasan oleh ulama memang benar perkataan amalan sedekah boleh menyejukkan seorang yang berada di dalam kubur.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 19/8/2025











