
PADANG BESAR: Rakyat negeri ini diseru supaya mengoptimumkan penggunaan kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di seluruh negeri demi kemajuan diri, keluarga dan komuniti.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, terdapat 17 NADI di Perlis yang berfungsi sebagai hab rujukan komuniti setempat, menyediakan pelbagai bentuk latihan, bimbingan serta akses maklumat menyeluruh.
“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan peluang yang tersedia ini untuk membina masyarakat lebih celik digital, berdaya saing dan progresif,” titah baginda ketika merasmikan Perlis Connect di Padang Besar Street, di sini Sabtu lepas.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Juga Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
Menurut baginda, penganjuran Perlis Connect bukan sekadar memperluas capaian internet, tetapi juga manifestasi keterangkuman digital yang merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
“Komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Kementerian Komunikasi, MCMC, BErnama, syarikat telekomunikasi serta rakan strategik amat membanggakan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, teknologi kini tidak lagi terhad kepada bandar besar, sebaliknya turut menyinari pekan kecil dan perkampungan, sekali gus mencipta peluang pekerjaan, menambah sumber pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Baginda menegaskan, pelancaran Perlis Connect melambangkan kejayaan sebuah kerjasama strategik berteraskan visi bersama dan semangat kolektif untuk memastikan setiap rakyat menerima manfaat daripada kemajuan digital.
Raja Muda Perlis turut mengingatkan bahawa transformasi digital bukan hanya bergantung kepada infrastruktur seperti menara 5G, sebaliknya menuntut penerapan nilai murni seperti kepercayaan, etika dan disiplin dalam dunia digital.
“Saya mendambakan generasi muda yang celik teknologi, warga emas yang yakin dan belia berjiwa pemimpin serta bertanggungjawab. Saya komited menyokong semua inisiatif yang membawa nilai, kemahiran dan maruah kepada umat negeri ini,” titah baginda.
Program sehari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan, taklimat mengenai perayauan, pendedahan keselamatan siber, e-pembelajaran serta ‘pocket talk’ isu buli sebagai usaha memperhebat kempen antibuli dalam kalangan pelajar.
Selain itu, Perlis Connect turut memberi peluang kepada usahawan NADI Perlis memasarkan produk mereka dan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penggunaan internet selamat, termasuk mengelakkan risiko buli siber dan penipuan dalam talian. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











