
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan rasa sedih dan keprihatinan terhadap perkembangan kes kematian tragis adik Zara Qairina Mahathir yang mengundang perhatian seluruh rakyat.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera mengambil langkah menyeluruh dalam menangani isu buli di sekolah.
Menurutnya, walaupun kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa, tindakan proaktif amat diperlukan bagi meredakan keresahan ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak tinggal di asrama.
“Situasi ini bukan sahaja memberi trauma kepada pelajar, malah menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap persekitaran sekolah sebagai tempat yang selamat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Antara langkah yang wajar dipertimbang katanya, ialah penjawatan warden tetap di asrama sekolah yang dikenal pasti sebagai _‘hotspot’_ kes buli, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik.
Selain langkah itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah itu mencadangkan supaya kempen anti-buli secara besar-besaran dan konsisten di peringkat sekolah dan masyarakat.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata malangnya, KPM dilihat lebih cenderung mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ terhadap kes Zara Qairina, tanpa menilai isu buli dalam skop yang lebih luas dan menyeluruh.
Katanya, kelemahan turut wujud dalam aspek pengurusan maklumat oleh pihak Kementerian Komunikasi apabila maklumat tidak rasmi yang tersebar tanpa ditangani dengan cermat telah mempengaruhi persepsi awam sekali gus menimbulkan kekeliruan.
“Hal ini sepatutnya diurus dengan lebih berhati-hati agar tidak memburukkan keadaan. Lebih membimbangkan, kegagalan mengurus krisis ini secara tuntas telah menyebabkan kemarahan rakyat semakin meningkat.
“Menyalahkan pihak lain semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah, sedangkan isu ini sebenarnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran dalam menguruskan kes berprofil tinggi seperti ini,” kupasnya.
Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS tegasnya menggesa kerajaan agar memberikan perhatian serius dan seimbang terhadap kes adik Zara Qairina kerana ia bukan sekadar tragedi individu, tetapi telah menjadi isu masyarakat yang menuntut penyelesaian menyeluruh.
“Rakyat sedang menilai keupayaan kerajaan untuk bertindak adil, cekap dan tegas dalam menangani tragedi ini. Kami mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan buat adik Zara Qairina, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











