
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bakal merobohkan semua jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok dalam masa terdekat bagi membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya dadah, di sempadan Malaysia–Thailand.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan itu diambil demi menjaga keselamatan negeri dan negara, selain melindungi golongan muda daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Menurut beliau, objektif utama perobohan jeti di pengkalan haram tersebut adalah bagi memastikan aktiviti penyeludupan berkurangan memandangkan Kelantan menjadi pintu masuk utama dadah ke Malaysia.
“Tindakan ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama agensi penguatkuasaan lain. Operasi perobohan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau berkata, jeti-jeti haram berkenaan akan tetap dirobohkan meskipun dibina di atas tanah persendirian kerana ia tidak mematuhi peraturan undang-undang antarabangsa dan tidak akan diberi pampasan.
Dato’ Fadzli turut mengakui ada pihak yang mungkin menggunakan jeti tersebut untuk tujuan ziarah keluarga di Thailand, namun risiko keselamatan tetap tinggi kerana ia kerap disalahgunakan untuk penyeludupan dadah.
“Apa yang membimbangkan kita ialah penyalahgunaan jeti-jeti haram ini untuk aktiviti penyeludupan. Maka kerajaan terpaksa mengambil tindakan ini demi kemaslahatan rakyat, negeri dan negara,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mematuhi undang-undang dengan menggunakan pintu masuk rasmi yang ditetapkan pihak imigresen jika ingin ke luar negara.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas akan dirobohkan setelah mendapat kebenaran kerajaan negeri. – *HARAKAHDAILY 13/8/2025*











