Pembedahan tunda, sistem kesihatan awam tenat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN–Kuala Langat) menegaskan bahawa sistem kesihatan awam negara kini semakin dibebani pelbagai masalah berikutan kekurangan tenaga manusia yang disifatkan sebagai kritikal.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia selepas pembukaan Hospital Pasir Gudang terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan jururawat, manakala hampir 100 katil di Hospital Sultan Ismail tidak dapat digunakan kerana kekurangan tenaga kerja.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengakui bahawa negara menghadapi kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan, manakala hospital awam berdepan masalah fasiliti usang, beban kerja yang berlebihan dan kesesakan melampau.

“Tempoh menunggu yang panjang bagi pembedahan elektif di fasiliti kesihatan awam, yang hampir 15,000 pesakit masih berada dalam senarai menunggu di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Justeru, beliau membangkitkan persoalan mengenai langkah yang akan diambil kerajaan untuk menambah pakar perubatan di negara ini, selain 692 pakar kini sedang menjalani latihan ‘parallel pathway’.

“Keputusan jemaah menteri pada 1976 memperkasakan kepakaran perubatan di Malaysia, dan kini sudah 50 tahun kita masih lagi belum mempunyai kekuatan untuk melahirkan pakar-pakar kita sama ada dalam kepakaran dan juga sub kepakaran.

“Saya nak mohon supaya dipertimbangkan oleh kerajaan untuk kembalikan semula tempoh latihan pegawai perubatan siswazah kepada satu tahun. Tempoh dua tahun saya kira agak lama.

“Saya mendapatkan juga maklumat daripada pakar-pakar di hospital-hospital yang mereka mengatakan baik juga untuk dikurangkan kepada tempoh satu tahun, ia akan memberi kebaikan kepada doktor-doktor kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025

- Advertisement -