
KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menggesa kerajaan menilai semula pelan pembangunan negara yang dirangka sejak tahun 1970-an bagi memastikan ia selaras dengan keperluan semasa, khususnya melibatkan perancangan bandar dan infrastruktur.
Beliau berkata, pelan sedia ada sudah tidak lagi relevan kerana peningkatan populasi dan pembangunan pesat menyebabkan kesesakan trafik, kemudahan tidak mencukupi serta kemerosotan kualiti hidup penduduk, termasuk di daerahnya.
“Di Pendang, sistem jalan raya yang dibina sejak tahun 70-an kini sempit dan sering sesak, walaupun pada hari biasa, apatah lagi ketika musim perayaan.
“Jadi kita kena lihat balik kesesakan kemudahan tidak mencukupi, kualiti hidup yang merosot seperti juga macam masalah sosial dadah dan sebagainya akibat daripada peningkatan ini yang terikat dengan pembangunan tahun ’70-an.
“Dahulu penduduk sekitar 70,000 hingga 80,000 orang, kini meningkat kepada 150,000 di daerah saya,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut Awang, RMK13 perlu menjadi peluang untuk kerajaan menyusun semula pembangunan bandar, memperkukuh kemudahan awam dan mengatasi jurang pembangunan antara wilayah.
Beliau turut membangkitkan isu ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara Pantai Timur dan wilayah lain.
Katanya, berdasarkan unjuran, pertumbuhan wilayah Pantai Timur antara 2026 hingga 2030 dijangka 4.7 peratus, ketinggalan berbanding wilayah tengah (5.0 peratus) dan selatan (5.1 peratus).
“Ketidakseimbangan ini berpunca daripada agihan pelaburan dan projek strategik yang tidak seimbang. Negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah kurang menerima projek berimpak tinggi berbanding wilayah tengah.
“Kita perlu mengagihkan pelaburan secara lebih adil bagi merapatkan jurang ekonomi,” katanya berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan cadangan itu demi kesejahteraan rakyat di semua wilayah. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











