
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi perhatian segera terhadap pembangunan infrastruktur sawah padi p termasuk sistem perparitan moden, saliran dan jalan ladang bagi menjamin keselamatan makanan negara serta kelangsungan pendapatan pesawah.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN–Parit) berkata, pengzonan rasmi kawasan sawah sebagai jelapang padi perlu disegerakan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, namun sehingga kini tiada perkembangan jelas.
“Sudah ada pesawah yang berputus asa mengusahakan sawah mereka kerana pelbagai masalah tidak diselesaikan. Sawah tidak menjadi, kerugian pula kerap dialami. Ini mata pencarian mereka, bagaimana mereka mahu meneruskan hidup?” katanya.
Beliau menyuarakan permasalahan tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Beliau turut mengangkat inspirasi daripada Surah Yusuf ayat 47-49 yang menekankan strategi simpanan dan pengurusan sumber ketika zaman kemakmuran untuk menghadapi kemarau dan krisis, sebagai panduan dasar ekonomi negara.
Ujar Muhammad Ismi, beberapa projek di kawasannya parlimen Parit yang tergendala termasuk pembinaan Masjid Titi Gantung, Klinik Kesihatan Parit, Sekolah Menengah Bandar Universiti dan Kompleks Sukan hanya tinggal ‘lawatan tapak’.
“Masyarakat kini menumpang solat di Surau Batu 30. Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid sudah kumpul lebih 10 peratus dana, tetapi peruntukan 30 peratus kerajaan negeri dan 60 peratus Kerajaan Pusat masih tidak kelihatan,” ujarnya.
Beliau berharap penduduk Parit mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan sejuta rumah mampu milik dan peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani yang disasarkan mewujudkan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu.
Beliau mahu projek perumahan dibangunkan di lokasi strategik berhampiran kemudahan asas supaya benar-benar membantu golongan muda yang masih menyewa.
Mengulas kes kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Muhammad Ismi mempersoalkan kelewatan siasatan dan tindakan pendakwaan meskipun autopsi telah dilakukan.
“Dari 17 Julai hingga hari ini sudah 28 hari berlalu tanpa tangkapan. Rakyat tidak mahu alasan teknikal, mereka mahu melihat tindakan,” tegasnya sambil menggesa Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia mempercepatkan siasatan.
Katanya, keputusan mengadakan inkues adalah langkah tepat namun pihak berkuasa berhutang jawapan kepada keluarga mangsa, masyarakat dan prinsip undang-undang. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











