
KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melontar pandangan agar diagihkan keuntungan unsur nadir bumi (REE) kepada negeri pengeluar sekurang-kurangnya 40 peratus.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan wajar memberi pertimbangan sewajarnya kerana sumber galian itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang tertakluk dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Malah menurutnya lagi, RMK13 yang dibentangkan untuk lima tahun akan datang bermula 2026, wajar dijadikan anjakan paradigma hubungan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan kerjasama dan fahaman fiskal Pusat.
“Segala tindakan yang berkait dengan pengurusan REE ini, bermula dengan kewujudkan Akta REE, pindaan Rang Undang-Undang berkaitan, model perniagaan sehinggalah pembahagian keuntungan, wajib melibatkan kerajaan negeri
“Agihan ini secara langsung mengurangkan kebergantungkan fiskal negeri kepada Pusat dan membolehkan negeri berdikari tanpa dipengaruhi sentimen politik, birokrasi, ketirisan dan kelewatan agensi Pusat,” katanya.
Khairil Nizam yang juga Ketua Portfolio Menteri Pengangkutan Perikatan Nasional turut membangkitkan kelulusan aerodrom di mana menjadi salah satu komponen Kedah Aerotropolis yang mendapat perhatian lebih 20 pelabur luar dan tempatan.
Bahkan katanya, perjanjian persefahaman telah dibuat antara kedua-dua belah pihak, negeri dan pelabur, selain tujuh ulasan teknikal diselesaikan dan enam dari lapan nasihat telah diluluskan kementerian terbabit.
Beliau berkata, sekiranya aspirasi Madani dan Perkongsian Kemakmuran dijadikan panduan dalam RMK13, maka penubuhan aeordrom perlu diberi kelulusan memandangkan kesungguhan negeri dalam menjayakan projek tersebut.
“Kedah Aerotropolis akan melebarkan orientasi penjanaan ekonomi negeri selain pemangkin pelaburan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) mencatat pelaburan keseluruhan sebanyak RM181.5 bilion sejak ditubuhkan sekitar 30 tahun lalu.
“Terkini, dalam tempoh lima tahun terakhir sahaja, jumlah pelaburan mencapai RM132.2bilion, menunjukkan momentum luar biasa dalam menarik syarikat global seperti Infineon, Intel dan OSRAM,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











