
KUALA LUMPUR: Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dalam pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah itu selepas berlaku dua kematian murid sekolah akibat lemas sejak projek dimulakan.
“Bermulanya projek ini sudah dua kematian murid sekolah yang lemas disebabkan tiada kawalan keselamatan. Yang terbaru ialah pada hari Khamis kelmarin, seorang budak Darjah 6 lemas dan meninggal dunia,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, semalam.
Hassan berkata, projek RTB Baling mesti diletakkan sebagai keutamaan nasional dengan peruntukan segera serta mempunyai kalendar pelaksanaan yang jelas.
“Saya menyokong tindakan mempercepatkan 43 projek di seluruh negara termasuk RTB di Baling, Kedah. Tetapi pengalaman lalu mengajar kita bahawa kelewatan projek boleh membawa padah besar kepada rakyat, bukan sahaja sekadar merosak harta benda, malah telah meragut nyawa.
“Penggunaan sistem amaran awal banjir berasaskan AI yang diumumkan amat baik. Pelaksanaannya mesti melibatkan latihan komuniti. Kita tidak mahu sistem canggih, tetapi rakyat tidak tahu cara penggunaannya. Saya mencadangkan pemasangan siren amaran banjir di kampung-kampung berisiko,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan integrasi sistem amaran tersebut dengan aplikasi mudah alih yang boleh memberi amaran terus ke telefon penduduk, serta mekanisme penyelenggaraan berkala selepas projek siap.
Dalam ucapannya, Hassan turut membangkitkan empat perkara utama yang memerlukan perhatian kerajaan iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan, keterjaminan makanan dan pertanian berskala besar, serta projek tebatan banjir.
Menyentuh isu TVET, beliau menggesa penubuhan pusat satelit TVET luar bandar yang berfungsi sebagai hab latihan kemahiran modular dengan kerjasama langsung industri.
“Kejayaan TVET bergantung kepada sejauh mana ia disesuaikan dengan peluang pekerjaan yang sebenar di lapangan. Saya cadangkan pusat ini bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal seperti automasi dan AI tetapi juga memberi pensijilan yang diiktiraf,” katanya.
Menurut beliau, langkah memperluaskan TVET kepada pelajar tahfiz dan huffaz adalah baik, namun memerlukan model khusus agar mereka boleh menggabungkan penguasaan agama dengan kemahiran moden seperti teknologi digital, pertanian pintar dan ekonomi halal.
Hassan juga menekankan keperluan meningkatkan tahap kompetensi guru, termasuk pengagihan guru berkemahiran tinggi secara seimbang antara bandar dan luar bandar, serta pelaksanaan program mobiliti guru secara sukarela dengan insentif khas.
“Kajian penempatan silang antara pelbagai profesion perlu diambil kira sensitiviti pendidikan agama. Mata pelajaran Pendidikan Islam misalnya mesti diajar oleh guru yang benar-benar berkelayakan,” tegasnya.
Dalam aspek keterjaminan makanan, beliau bersetuju dengan tumpuan RMK-13 kepada pertanian berskala besar tetapi mahu negeri seperti Kedah mendapat manfaat setara.
“Saya mencadangkan agar kerajaan memperluaskan pertanian pintar kepada pesawah kecil melalui subsidi peralatan seperti sensor kelembapan tanah, sistem fertigasi automatik dan penggunaan dron untuk pemantauan tanaman,” ujarnya.
Beliau turut memohon pembinaan segera Pusat Kesihatan Baling serta penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi awam di daerah itu.
“Baling mempunyai penduduk yang kurang berpendapatan, jadi anak-anak mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke tempat lain tersekat dengan kemampuan mereka.
“Oleh itu pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi perlu disegerakan,” katanya.
Hassan menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa RMK13 mesti memberi manfaat nyata kepada rakyat luar bandar.
“RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan tetapi janji kepada rakyat bahawa setiap dasar dan projek akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan keberkesanan.
“Jika melaksanakannya benar-benar berfokus kepada keperluan rakyat, barulah RMK-13 menjadi pelan yang bukan sekadar indah di atas kertas tetapi membina masa depan negara makmur dan sejahtera untuk semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











