
KUALA LUMPUR: Kos sara hidup kekal menjadi beban terbesar kepada rakyat apabila harga barangan terus meningkat dan kenaikan tarif utiliti telah menghakis pendapatan boleh guna isu rumah.
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) seharusnya menjadi pelindung kepada ekonomi rakyat, bukannya menambah tekanan terhadap mereka.
“Dalam isu kemiskinan, kerajaan tidak perlu bermegah dengan slogan ‘menoktahkan kemiskinan tegar’ sekiranya angka yang ditetapkan tidak mencerminkan kesungguhan yang sebenar. Realitinya, sasaran RMK13 amat mengecewakan.
“Kadar kemiskinan pada tahun lalu adalah pada kadar 5.8 peratus, namun kerajaan hanya mensasarkan penurunan kepada 4.7 peratus dalam tempoh lima tahun. Penurunan tipis sebanyak 1.1 peratus sahaja,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, semalam.
Hal itu, jelasnya, membangkitkan persoalan sama ada pihak kerajaan benar-benar serius dalam membasmi kemiskinan apabila jurang kemiskinan antara golongan kaya dan miskin tidak ditangani dengan tuntas.
“Walhal ia merupakan salah satu daripada struktur utama negara. Kerajaan hanya menyasarkan pengurangan marginal sebanyak satu peratus dalam tempoh lima tahun daripada 0.388 dalam RMK12 kepada 0.386 dalam RMK13.
“Bagi negara-negara OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) adalah sekitar 0.315 peratus, jauh lebih rendah dan mencerminkan agihan pendapatan yang lebih saksama
“Dengan sasaran yang begitu rendah, jelas Malaysia tidak akan bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang adil dan seimbang dari segi ekonomi,” ujarya.
Beliau dalam pada itu menyentuh mengenai perbelanjaan Tabung Haji yang didakwa menelan kos sebanyak RM20 juta melalui pelantikan tiga firma bagi melaksanakan projek penjenamaan semula institusi tersebut.
“Difahamkan tiga firma yang dilantik, iaitu Five Gram Communication Sdn Bhd, Green Zebras Sdn Bhd dan Centriq PR Sdn Bhd. Antara firma yang dilantik ini adalah yang bukan dimiliki sepenuhnya oleh Muslim ataupun Bumiputera.
“Malah diketuai oleh individu bukan Islam. Mengapa kita nak cari orang seperti ini dan firma seperti ini? Apakah sudah tandus syarikat-syarikat firma yang dimiliki oleh orang Islam yang lebih memahami aspirasi penabung-penabung di Tabung Haji?
“RM20 juta ini datangnya daripada dana pendeposit umat Islam, termasuk duit orang kampung, makcik-makcik di FELDA, nelayan yang sanggup menggadai nyawa di lautan serta anak muda yang menabung bertahun-tahun demi cita-cita untuk menjadi Duyufurrahman,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











