
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) menggesa kerajaan memberi tumpuan serius terhadap isu beban kesihatan berganda yang kini melanda rakyat, khususnya masalah malnutrisi, obesiti dan amalan pemakanan tidak seimbang.
Beliau merujuk data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NSMS) 2024 menunjukkan 16.1 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut dan lebih 16 peratus kanak-kanak sekolah mengalami obesiti.
Manakala hampir 95 peratus rakyat katanya, tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya yang mungkin berpunca daripada peningkatan kos sara hidup tidak selari dengan punca pendapatan disebabkan harga makanan sihat juga semakin mahal.
“Makanan yang dimakan tidak seimbang, buah-buahan import berkhasiat pula dikenakan SST, menjadikannya lebih mahal berbanding makanan ringan yang tinggi gula, garam dan lemak,” tegasnya.
Beliau mencadangkan kerajaan menyalurkan bantuan makanan sihat percuma kepada semua kanak-kanak berumur 0–3 tahun sebagai langkah pencegahan malnutrisi dan bantut.
Menurut beliau, kos rawatan penyakit akibat bantut dan komplikasinya dianggarkan mencecah RM34.8 bilion setahun, jauh lebih tinggi berbanding kos menyediakan makanan sihat berjumlah RM2.418 bilion setahun.
Dato’ Dr Alias turut mempersoalkan status pelaksanaan Dana Kesihatan Nasional yang diumumkan sejak Belanjawan 2023, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini semalam.
“Adakah ia berbentuk skim bantuan geran atau subsidi? Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada dana ini dan apakah bentuk sokongan yang ditawarkan?” soal beliau.
Beliau berkata, dana ini sepatutnya tidak hanya memfokuskan rawatan penyakit kronik, tetapi turut menyokong pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD), saringan awal, pendidikan kesihatan dan promosi gaya hidup sihat.
“Promosi gaya hidup sihat kita kena ‘promote’ sehebat-hebat, termasuklah saringan awal intervensi di peringkat komuniti serta pendidikan kesihatan, sekali gus mengurangkan tekanan jaga panjang ke atas sistem penjagaan kesihatan awam negara,” tegas beliau.
Mengambil contoh Tabung Darul Iman (TDI) yang diwujudkan Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini, beliau mencadangkan dana kesihatan nasional disalurkan terus kepada program negeri yang terbukti berkesan membantu rakyat kurang mampu mendapatkan rawatan.
“Oleh itu saya ingin bertanya pihak kerajaan, sejauh mana komitmen kerajaan untuk menyokong program pendanaan kesihatan
di peringkat negeri yang terbukti sangat berkesan dan mendapat sambutan yang hebat daripada rakyat.
“Adakah melalui mekanisme Dana Kesihatan Nasional ini kerajaan bercadang untuk menyalurkan secara terus dana kesihatan kepada program negeri seumpama Tabung Darul Iman ini? Harap Menteri dapat beri pencerahan,” ujar beliau.
Menyentuh isu vape, beliau menyokong penuh pengumuman kerajaan untuk membentangkan garis masa pengharaman di Parlimen, namun mempersoalkan realistiknya pelaksanaan itu.
Ini katanya, memandangkan kerajaan telah mengutip cukai nikotin dan sebuah syarikat antarabangsa, Ispire Technology, baru mendapat lesen mengeluarkan peranti vape di Johor.
“Sejauh manakah realistiknya pengharaman ini akan dilaksanakan dan apakah status sebenar kilang tersebut?
“Kita mahu penjelasan bila tempoh pengharaman akan bermula, bagaimana kawalan rantai bekalan akan dijalankan, dan jaminan produk mengandungi nikotin atau bahan seperti kanabis tidak dipasarkan dalam negara,” tegasnya.
Beliau memberi amaran agar dasar ini tidak berakhir ‘sekerat jalan’ seperti pelaksanaan larangan merokok generasi akan datang (GEG) yang tergendala akibat tekanan pelobi industri. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











