Kos LRT Pulau Pinang naik mendadak RM7 bilion?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN–Putrajaya) mempersoalkan ketersediaan peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau menyifatkan ia lebih rendah berbanding keperluan sebenar, selain mempersoalkan kenaikan mendadak kos projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

Tegasnya, antara faktor penentu sama ada sasaran yang ditetapkan dalam rancangan pembangunan negara dapat dicapai atau tidak adalah ketersediaan sumber kewangan kerajaan dan kecekapan penggunaannya.

“Kita boleh membuat satu perancangan pembangunan yang nampak cantik tetapi tanpa sumber kewangan yang mencukupi dan tanpa penggunaan sumber yang cekap tentunya sukar untuk melaksanakan perancangan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM430 bilion peruntukan pembangunan bagi RMK13, iaitu secara purata RM86 bilion setahun, jumlah yang lebih rendah berbanding peruntukan pembangunan untuk tahun 2023 sebanyak RM97 bilion, 2024 (RM90 bilion) dan 2025 (RM88 bilion).

- Advertisement -

Namun, beliau menjelaskan, selepas mengambil kira peruntukan bagi geran bayaran balik pinjaman yang sebahagian besarnya untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti RM13 bilion pada 2023, jumlah sebenar yang boleh digunakan adalah jauh lebih rendah.

“Pelbagai perancangan dalam RMK13 ini tentunya memerlukan jumlah peruntukan pembangunan yang jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun jumlah yang disediakan hampir sama dengan tahun-tahun sebelum ini dalam RMK12,” kupasnya.

Beliau berkata, jika diambil kira projek infrastruktur mega, jumlah peruntukan untuk projek pembangunan lain sebenarnya jauh lebih rendah kerana peruntukan pembangunan yang akan digunakan untuk projek tersebut amat signifikan.

Radzi memberi contoh projek LRT Pulau Pinang yang dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri menyatakan akan dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam swasta (PPP) dengan anggaran kos RM10 bilion.

“Namun, pada 19 Februari 2025, Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah peruntukan yang diluluskan kerajaan untuk projek LRT Pulau Pinang adalah RM13 bilion.

“Soalan saya, adakah ini bermakna projek yang empat bulan sebelumnya dikatakan Perdana Menteri dibiayai melalui kaedah kerjasama awam swasta akhirnya akan dibina menggunakan peruntukan pembangunan kerajaan sepenuhnya?

“Apakah justifikasi pertukaran kaedah pembiayaan ini? Apakah benar bahawa siling keseluruhan peruntukan yang disediakan untuk projek ini mencecah RM17 bilion? Mengapa anggaran kos naik mendadak daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion kemudian kepada RM17 bilion?” soalnya.

Beliau berkata, jika RM17 bilion itu dibahagikan kepada lima tahun, jumlah peruntukan pembangunan yang akan digunakan untuk projek itu setiap tahun adalah RM3.4 bilion atau empat peratus.

Ia jelasnya, sekali gus meninggalkan baki peruntukan pembangunan kerajaan untuk projek lain di seluruh negara secara purata hanya RM82.6 bilion setahun.

“Trade-off kepada satu projek mega bernilai RM17 bilion adalah projek-projek lain berskala kecil seperti pembinaan sekolah. Katakan kos pembinaan sebuah sekolah ialah RM50 juta, maka dengan RM17 bilion kerajaan boleh membina 340 buah sekolah di seluruh negara. Itu baru kita ambil kira satu projek mega.

“Saya mohon kerajaan senaraikan semua projek-projek mega yang akan dilaksanakan di bawah RMK13 serta siling peruntukan untuk projek tersebut. Ini penting untuk kita lihat baki peruntukan pembangunan untuk projek-projek lain di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -