
KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan memberi perhatian kepada kumpulan sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) namun nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 masih terpinggir.
Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, situasi tersebut menyebabkan wujud jurang besar ekoran keputusan mahkamah pada Jun lalu memutuskan veteran bersara sebelum tarikh itu tidak menikmati penyelarasan pencen.
Beliau berkata, perbezaan itu berlaku kerana kegagalan Majlis Angkatan Tentera (MAT) melakukan penyelarasan pencen yang terkandung Peraturan-peraturan Angkatan Tetap, Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain 1982.
“Sepatutnya setiap kali berlaku penyelarasan gaji Angkatan Tentera Malaysia (ATM), maka MAT hendaklah membuat penyelarasan pencen sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
“Jumlah veteran yang bersara dan berpencen dari ATM adalah lebih kurang 500 orang setahun dan tidak berpencen 500 orang setahun, mereka ini memerlukan perhatian kerajaan melalui RMK13 kali ini,” katanya.
Berucap pada sesi perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau turut membangkitkan program kebajikan membantu golongan itu yang dikelola oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Beliau berkata, program dan bantuan berterusan yang disampaikan oleh kerajaan tidak dapat mengubah kehidupan keluarga bekas tentera apatah lagi menjamin masa depan khususnya ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Menurutnya, veteran bukan seperti penjawat awam lain, golongan itu didedahkan cara kerja berbeza dengan penugasan meliputi 24 jam sehari dan bersedia mempertahankan kedaulatan negara setiap masa.
“Justeru itu apabila mereka bersara, maka amat sukar untuk mereka meneruskan hidup kerana tidak bekerja dan pencen yang rendah serta tiada pengalaman lain melainkan ilmu senjata dan peperangan sahaja.
“Oleh itu kalau kita bandingkan mereka dengan pesara awam yang lain dari segi cara mereka bekerja bergaul berbahas bercakap berjalan dan bersahabat masih terikut-ikut dengan didikan ketenteraan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025











