Cadang zon ekonomi khas di Rantau Panjang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan zon ekonomi khas di Rantau Panjang bagi memacu pembangunan ekonomi sempadan susulan kelulusan peruntukan pembinaan jambatan kedua di kawasan itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, projek jambatan kedua di Sungai Golok itu akan memberi kesan lebih besar sekiranya disokong oleh sistem jalan raya yang baik serta kemudahan pengangkutan lebih lancar.

“Jadi saya mengharapkan supaya diluluskan peruntukan untuk zon ekonomi khas untuk pembangunan ekonomi di Rantau Panjang selaku limpahan pembangunan di sempadan.

“Begitu juga sambungan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terus ke pekan Rantau Panjang daripada yang sekarang ini hanya di Tunjong begitu juga ke Pengkalan Kubor di Tumpat,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesesakan lalu lintas di pintu masuk utama Rantau Panjang terutama pada musim cuti, perayaan dan musim tengkujuh menjadi isu utama yang membelenggu penduduk serta menjejaskan kelancaran logistik.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan masukkan segera dalam pelan RMK13 ini untuk naik taraf jalan FT003 iaitu dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hingga ke Balai Bomba dan Kompleks ICQS Rantau Panjang.

“Ini kerana ia adalah jalan utama yang menjadi penghubung kepada pintu masuk utama di pantai timur dan juga menaik taraf jalan Panglima Bayu ke Rantau Panjang yang sentiasa mudah tenggelam dan sering berlaku kesesakan dan juga kemalangan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa supaya projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dan rancangan tebatan banjir Sungai Golok di Rantau Panjang yang telah diperuntukkan RM3 bilion dalam RMK-13 disegerakan pelaksanaannya.

“Projek ini sudah dirancang sejak Rancangan Malaysia Ketujuh, tetapi sehingga kini belum menjadi realiti walaupun di sebelah Thailand mereka sudah menyiapkan tebatan banjir.

“Saya berharap ia benar-benar dilaksanakan untuk berdepan risiko banjir yang semakin tinggi terutama pada musim tengkujuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -