
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli merasmikan dan melancarkan program MyKasih Mobile sebagai langkah memperluas bantuan kewangan serta keperluan asas kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Majlis yang berlangsung di Nat Behor Lateh, Jumaat lalu, turut dihadiri Pengurus Kanan Operasi Perniagaan MyKasih Foundation, Dennis Michal Joseph dan Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil bersama vendor rasmi Ishah Bintong.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri menyatakan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan membantu rakyat meringankan kos sara hidup, khususnya melalui bantuan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas seperti diumumkan Perdana Menteri.
Program MyKasih menyediakan bantuan kewangan tanpa tunai menggunakan MyKad penerima untuk pembelian makanan, barangan keperluan rumah dan kelengkapan sekolah di kedai berdaftar.
Mekanisme ini juga bagi memastikan bantuan dimanfaatkan tepat pada tujuan dan mengelakkan pembaziran di mana sangat memberi manfaat kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, manfaat program ini meliputi meringankan beban kewangan keluarga, meningkatkan taraf hidup penerima, menyokong ekonomi tempatan melalui pembelian di kedai sekitar, serta mewujudkan jaringan keselamatan sosial bagi golongan rentan.
“Kerajaan Negeri bertekad memastikan tiada rakyat tercicir walau di ceruk kampung, hujung desa atau kawasan pinggir sempadan negeri,” jelas beliau.
MyKasih Mobile turut memudahkan warga emas dan penduduk kampung mendapatkan keperluan harian di kedai berdekatan.
Bersempena pelancaran, vendor rasmi Ishah Bintong menawarkan promosi khas gula pada harga RM1 bagi setiap pembelian bernilai RM90 ke atas melalui MyKasih.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menyeru agar semangat kerjasama dan kasih sayang sesama insan terus dipupuk demi membina negeri dan negara lebih adil serta sejahtera. – HARAKAHDAILY 11/8/2025











