MINDA selesai induksi, perkukuh asas kepimpinan

- Advertisement -

KUBANG PASU: Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA) berjaya melengkapkan Bengkel Induksi dan Hala Tuju sesi 2025/2026 selama tiga hari di Kem Paya Pahlawan, di sini, sebagai langkah penting melahirkan pelapis kepimpinan anak muda Kedah.

- Advertisement -

Program pada 7, 8 dan 9 Ogos itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah merangkap Penaung MINDA, Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

Ujarnya, MINDA perlu menjadi medan pengkaderan mahasiswa yang bukan sahaja membekalkan ilmu dan kemahiran, malah memperkukuh nilai Islam sebagai asas kepimpinan.

“Alhamdulillah, selesai tiga hari Induksi Kepimpinan MINDA di Kem Paya Pahlawan sebagai salah satu langkah ke arah melahirkan barisan pelapis kepimpinan anak muda Kedah.

“Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian daripada pembinaan visi dan perancangan strategik, kuliah kepimpinan berteraskan nilai Islam serta peningkatan ukhuwah sesama peserta,” ujarnya.

Tambahnya, program ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik Kerajaan Negeri Kedah bagi memastikan generasi muda bersedia memimpin masyarakat dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman.

“Tahniah kepada semua pimpinan MINDA yang menunjukkan komitmen tinggi. Inilah permulaan untuk kita membina barisan pemimpin masa depan Kedah,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden MINDA, Muhammad Asyraf Anor berkata, pelbagai agenda dibincangkan sepanjang program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.

“Hari pertama lebih kepada merapatkan ukhuwah antara ahli jawatankuasa, manakala hari kedua fokus kepada pelan strategik dan penyusunan biro-biro dalam MINDA.

“Kita juga membincangkan pengisian program untuk Bakti Siswa Perdana yang akan datang. Hari ketiga pula diisi dengan sesi ‘bonding’ dan bengkel bagi membentuk pasukan yang kuat untuk memimpin MINDA,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -