RMK13: Bebas negeri dari pengaruh politik kepartian Pusat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkukuh kuasa negeri agar dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian.

- Advertisement -

Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkata, langkah ini bertujuan memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekiranya wujud perbezaan pandangan politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Ya saya faham, kita ada kerangka pembahagian kuasa Negeri dan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita semua maklum, bahawa keadaan semasa Perlembagaan digubal adalah hampir 70 tahun yang lalu, tentunya berbeza dengan keperluan semasa waktu ini.

“Contoh realiti yang sering saya berikan adalah berkaitan pelaburan ke negeri-negeri. Walaupun diumumkan projek pelaburan yang berbilion-bilion jumlahnya, namun pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja.

“Kerajaan negeri hanyalah mempunyai kuasa kutipan cukai yang jumlahnya tersangat kecil, berbanding hasil kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu yang diperolehi oleh Kerajaan Pusat,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas beliau, Malaysia perlu mempertimbangkan kesesuaian untuk beralih kepada model ‘cooperative federalism’ dan ‘fiscal federalism’, di mana penyelesaian masalah rakyat menjadi keutamaan mengatasi batasan kerangka Perlembagaan.

Jelas Samsuri, pendekatan baharu diperlukan dalam penyelarasan dasar, pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuk pembahagian kuasa percukaian lebih meluas agar negeri dapat memperoleh hasil yang lebih baik.

“Di bawah semangat ‘cooperative’ dan ‘fiscal federalism’, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan dan Negeri di bawah akta baharu yang boleh digubal.

“Menggunakan kuasa di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan. Ini membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan, birokrasi atau kelewatan agensi Pusat,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik perancangan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) yang merangkumi lima aspek utama iaitu perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan produk untuk eksport serta penjagaan alam sekitar.

“Ia adalah sesuatu yang baik, memandangkan industri ini bakal menghasilkan pulangan yang besar kepada negeri dan juga negara, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Saya mencadangkan agar diwujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE, yang memberikan fokus terhadap pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi dan pemulihan tanpa sisa,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -