Gesa agih manfaat pelancong Muslim ke Pantai Timur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) meminta kerajaan menyatakan strategi bersasar bagi memastikan manfaat dan limpahan ekonomi daripada kehadiran pelancong Muslim dapat diagihkan secara optimum kepada negeri-negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu.

Beliau berkata, berdasarkan data rekod kehadiran pelancong Muslim, jumlah perbelanjaan direkodkan melebihi RM15 bilion melibatkan 4.82 juta pelancong setakat November 2024.

“(Jumlah ini meningkat) berbanding 4.5 juta (pelancong) dengan perbelanjaan RM14.7 bilion pada tahun 2023,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan langkah strategik yang akan dilaksanakan bagi memastikan negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya Terengganu, turut menikmati limpahan ekonomi daripada peningkatan kehadiran pelancong Muslim.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dalam jawapannya memberitahu, Malaysia diiktiraf sebagai Top Muslim Friendly Destination of the Year dalam laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) oleh Mastercard-CrescentRating selama 10 tahun berturut-turut sejak 2015 hingga 2025.

Menurutnya, bagi Terengganu, kerajaan melalui Tourism Malaysia dan Islamic Tourism Centre mempromosikan produk mesra Muslim seperti Masjid Kristal ke peringkat antarabangsa termasuk Eropah, China, Jepun dan Korea.

Tambahnya, negeri itu turut terkenal dengan pantai dan laut yang menjadi tarikan pelancongan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada industri inap desa, kraf, makanan dan warisan tempatan.

Wan Hassan dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan mekanisme Kementerian dalam merancang untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mempromosikan pelancongan mesra Muslim di Malaysia dan hasil konkrit daripada kerjasama tersebut setakat ini. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -