Gesa naikkan elaun, skim perlindungan guru takmir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) mencadangkan kerajaan mewujudkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim khusus untuk guru takmir bagi menjamin kebajikan mereka di hari tua.

- Advertisement -

Dalam soalan tambahan dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa pemberian tersebut agar ia sepertimana yang dinikmati guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu skim bagi guru takmir untuk mencarum ke dalam KWSP ataupun khusus bagi menampung perbelanjaan mereka di hari tua seperti yang dilakukan kepada guru KAFA?” soal beliau.

Selain itu, Hassan juga mencadangkan penambahan waktu mengajar guru KAFA daripada sembilan jam kepada 12 jam seminggu supaya mereka dapat memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.

“Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan waktu daripada 9 jam
kepada 12 jam supaya guru-guru kafa ini dapat menerima sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan?” tambah beliau lagi.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, caruman KWSP boleh dikenakan ke atas elaun yang diterima sekiranya individu tersebut berstatus pekerja seperti yang ditakrifkan di bawah Akta KWSP 1991.

“Bagaimanapun, guru takmir bukan berjawatan tetap atau kontrak, sebaliknya dibayar mengikut jumlah kelas yang diajar dengan kadar maksimum RM900 sebulan.

“Setakat ini, kerajaan tidak bercadang menyediakan skim perlindungan sosial KWSP atau PERKESO kepada guru takmir kerana kebanyakan mereka sudah mempunyai pekerjaan lain,” jelasnya.

Hassan sebelum itu, dalam soalan asalnya menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun guru takmir kepada RM1,200 sebulan bagi memperkasa ilmu dan kefahaman agama Islam di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -