Syor lantik bekas tentera jadi warden asrama KPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) melontarkan idea kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melantik bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di sekolah berasrama penuh.

- Advertisement -

Beliau berkata, KPM wajar memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan itu terutama ketika kejadian buli dikalangan pelajar sekolah terus menular dalam media sosial bahkan turut membabitkan kehilangan nyawa.

Malah katanya, nasib sebahagian veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan sebelum 1 Januari 2013 masih lagi terpinggir kerana tidak dapat menikmati langkah penyelarasan pencen sebagaimana diumumkan oleh kerajaan.

“Semasa bersara kebanyakan veteran ini mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan, sekiranya kerajaan tidak membantu sudah tentu mereka akan menghadapi masalah untuk meneruskan kehidupan.

“Di sini saya cadangkan kepada Menteri Pelajaran agar mengambil veteran ATM ini untuk dijadikan warden di asrama bagi mengelakkan kejadian buli sekarang ini,” katanya dalam perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Media sebelum melaporkan gejala buli dalam kalangan remaja kini semakin berleluasa dan membimbangkan banyak pihak terutamanya ibu bapa dan guru apabila kejadian yang membahayakan keselamatan itu berlaku di sekolah berasrama.

Orang awam dan juga netizen juga sentiasa menantikan penyelesaikan tuntas yang dilakukan kerajaan terutamanya KPM untuk menangani gejala buli tidak memperlihatkan petanda reda dalam kalangan remaja bermasalah.

Bekas Ketua Perisikan Tentera Darat itu berkata, bekas tentera mempunyai pengalaman dan terlatih dengan ilmu persenjataan dan peperangan selain sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara dari diceroboh. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -