
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah secara rasmi melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan, dengan penekanan kepada penglibatan seluruh rakyat untuk mengibarkan bendera di rumah, pejabat dan premis perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat menyeru rakyat negeri ini agar menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotik dengan mempamerkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan hingga 16 September, iaitu Hari Malaysia.
“Pagi ini kita telah menyampaikan sagu hati iaitu bendera, topi, air dan stiker kemerdekaan diberikan kepada para pengguna Tol Utara sebagai tanda simbolik untuk program yang dianjurkan,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran di Plaza Tol Alor Setar (Utara), di sini kelmarin.
Ujarnya, kempen tersebut akan digerakkan menyeluruh ke seluruh pelosok negeri termasuk daerah, mukim dan kampung-kampung agar semangat kemerdekaan dapat dirasai bersama oleh semua lapisan masyarakat.
“Program itu akan dijayakan di seluruh Kedah termasuklah di daerah-daerah, mukim dan kampung-kampung untuk menyemarakkan selama bulan kemerdekaan ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan harapan agar kempen itu mampu meniup kesedaran dalam kalangan generasi muda agar tidak lupa akan erti sebenar kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
“Semangat kecintaan kepada negara Malaysia yang merdeka bukan hanya dari sudut bebas daripada penjajahan tapi juga bebas minda kita juga daripada sebarang anasir-anasir yang tidak baik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











