
ALOR SETAR: Sebanyak 500 Jalur Gemilang, topi dan pelekat kenderaan diedarkan kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan sempena pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Plaza Tol Alor Setar (Utara), kelmarin.
Kempen yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme rakyat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
“Kempen ini bermula pada Julai, hari ni kita buat pelancaran di sini sama-sama memberi 500 pakej bendera Malaysia, topi dan sticker kepada pemandu,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.
Menurut beliau, pelaksanaan kempen tidak terhad di peringkat negeri sahaja, malah turut melibatkan seluruh pelosok negeri termasuk daerah, kawasan dan kampung.
“Kita juga melaksanakan kempen ini di peringkat daerah, kawasan dan kampung. Ini adalah permulaan di peringkat negeri, kita harap semua rakyat Malaysia akan mengibarkan bendera Malaysia,” tambahnya.
Dalam masa sama, Norizan turut menjelaskan simbolik pemilihan lokasi pelancaran di Plaza Tol Alor Setar (Utara) yang menjadi pintu masuk utama ke negeri Kedah.
“Memandangkan arah paling utama untuk datang ke Alor Setar ialah di sini, jadi signifikan la. Bukan saja pemandu dari Kedah, dari Perlis dan Pulau Pinang pun melalui jalan ini,” ujarnya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato’ Dr Nadzman Mustaffa serta Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah.
Dato’ Seri Norizan turut menyeru agar rakyat Kedah bangkit menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis, rumah dan kenderaan masing-masing.
“Saya menyeru semua rakyat Kedah, sama melibatkan diri dan kibar Jalur Gemilang untuk imbau perjuangan orang lama. Kita adalah generasi yang mengisi kemerdekaan supaya kekal merdeka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











