Harakah Islam adalah satu langkah strategik umat mendepani dunia moden

- Advertisement -

HARAKI ini kalau nak faham dalam bahasa mudah adalah pergerakan. Dalam erti kata lain, umat yang bergerak dan menggerakkan sesuatu.

Apabila pergerakan umat Islam disatukan dalam satu terma, jadilah ia harakah Islamiah.

Antara objektif utama harakah Islamiah adalah melaksanakan fungsi asal manusia sebagai khalifah di muka bumi sesuai dengan mesej dan tugas utama Nabi Muhammad S.A.W.

Orang yang tidak sertai haraki kena faham, secara asasnya orang haraki ini nak ikut jejak langkah Nabi dalam beragama. Dan agama Islam adalah addin, satu cara hidup yang merangkumi semua sistem kehidupan

- Advertisement -

Ada banyak lagi objektif haraki lain, tetapi semua tu adalah percambahan daripada pokok utama iaitu memperjuangkan hidup cara Nabi, iaitu Islam sebagai addin. Nampak?

Nak faham haraki juga, kita kena lihat faktor latar masa dan tempat.

Ini yang uniknya. Dari segi latar masa, harakah Islam ini lahir dari rangka masa yang sama, iaitu rangka masa kejatuhan Islam sebagai peradaban yang memimpin.

Sebab itu harakah ini bukanlah sultan atau kerajaan yang ada kuasa, tetapi pergerakan umat Islam yang disusun untuk mencapai objektif Muslim dalam keadaan Islam tidak mempunyai kuasa pemerintahan.

Sebab itu, sebenarnya bagi saya, kumpulan pejuang Melayu di beberapa negeri-negeri Melayu yang dijajah itu boleh dikira sebagai harakah Islam. Mungkin objektif dan pergerakannya tidaklah sistematik, tetapi secara dasarnya objektifnya adalah Islam memimpin.

Dari segi latar tempat, Ikhwanul Muslimin yang diasaskan Imam Hassan Al Banna pada era 30-an dikatakan sebagai bapa segala harakah Islam, tetapi jika diteliti, ada saja gerakan Islam yang lebih awal dan ada metod tersendiri seperti Sarekat Islam di Nusantara.

Untuk faham kacamata orang yang sertai haraki, kena lihat dunia dan Islam dari sudut pandang yang lebih makro. Harakah mencari peluang mengangkat peradaban Islam yang dapat mereplikasi Islam sepertimana Nabi iaitu Islam yang berkuasa mengurustadbir negara.

Tetapi perlu faham juga, apabila nak capai objektif makro ini, siri-siri objektif mikro hendaklah dicapai dulu.

Iaitu pembinaan individu muslim, keluarga muslim dan masyarakat muslim.

Secara logiknya, apabila hendak capai elemen-elemen mikro ini, tidak dapat tidak aspek seperti pembudayaan dan penguasaan ilmu seperti sains, matematik, turath dan fiqh secara automatik turut perlu diutamakan.

Jika tidak, matlamat makro iaitu menguasai dan mengurus pemerintahan dengan Islam akan gagal gara-gara tidak cukup persiapan.

Haraki mengajarkan bahawa Islam bukan sekadar dipagari dalam masjid dan surau atau bilik kuliah. Islam juga bukan sekadar ritual menelaah kitab.

Akan tetapi Islam adalah agama yang menghidupkan diri dan bangsa. Islam menghadirkan kebangkitan dalam keadaan masyarakat dirundung krisis moral.

Cumanya apa yang berlaku sekarang, ada waktunya dalam keghairahan mengejar objektif yang besar iaitu kekuasaan untuk menegakkan agama, kita terlupa untuk mengukuhkan elemen asas seperti pembudayaan ilmu.

Dan dalam masa sama juga, ada kelompok yang terlalu asyik dalam elemen mikro sehingga lupa di seberang sana, Islam terus diinjak dan dihina. Kiblat umat secara terus menerus dihina dan usaha kristianisasi berjalan secara halus dalam negara Islam.

Perumpamaan mudah, kita tidak mahu suasana kuliah agama dan pengajian kitab yang begitu rancak sekali namun dalam masa umat Islam di negara sebelah sedang berterusan dibantai dan dibunuh dalam keadaan kita diam tidak berbuat apa-apa.

Kita juga tidak mahu pemimpin Islam yang pandai memetik dalil namun gagal menunaikan janji saat menaiki takhta kekuasaan. Kita juga tidak mahu pergerakan Islam yang begitu ghairah bersilat dalam kancah politik namun ahlinya kosong dalam penguasaan ilmu asas agama serta memandang enteng pembudayaan ilmu.

Sudut pandang mikro dan makro ini tidak boleh dibanding. Ia sama-sama penting sewajibnya diganding.

Haraki yang sejati sepatutnya dapat memandang kepentingan kedua-dua elemen ini. Kerana mereka memandang kepentingan dan ketinggian Islam sebagai nombor satu.

Cakap memang mudah, tetapi ia perkara yang amat susah. Haraki yang original akan menyedari objektif mereka sebenarnya sangat susah, dan ada juga umat Islam yang kata ia mustahil. Namun jalan konformis bukanlah jawapan bagi mereka.

Dalam mengejar objektif yang susah ini, segala sumber dan elemen umat Islam seperti sumber tenaga iaitu individu Muslim itu sendiri, pertubuhan dan institusi umat Islam, pemimpin Islam, usahawan Islam, negara Islam, ilmuwan dan ulama Islam perlu disusun pada posisi mereka tersendiri.

Kemudian, sesuai dengan posisi mereka, digerakkan pula usaha-usaha mengikut bidang tugas mereka seterusnya segala kekuatan tenaga ini dipadukan dan dipraktikkan dalam lapangan masyarakat baik dalam sektor ekonomi, politik dan sosial dengan membawa panduan Islam dalam setiap tindakan dan usaha.

Inilah yang dicari oleh ahli haraki. Dan ini jualah satu ikhtiar umat Islam dalam melaksanakan satu langkah strategik demi melunaskan makna manusia diciptakan atas muka bumi ini.

Sebuah objektif besar dan susah tidak boleh dilakukan secara berterabur, sendiri-sendiri dan tanpa panduan Ilahi. Ia memerlukan satu ketumbukan umat yang berpadu dan tersusun pergerakannya. Maka lahirlah ‘harakah’ Islam sebagai satu ijtihad umat pada era moden ini.

UTHMAN CHE AZIZ
Haraki yang cuba menyeimbangkan segala aspek kehidupan. – HARAKAHDAILY 8/8/2025

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/19kM78UjZU/

PENAFIAN:
_HarakahDaily_ tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian _HarakahDaily_ mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -