
KOTA BHARU: Pasukan Kelantan The Real Warriors (K-TRW) kini sah melengkapkan senarai pendaftaran 27 pemain untuk menghadapi saingan Liga Super musim ini dengan majoriti merupakan muka baharu.
Hanya tiga pemain daripada skuad musim lalu dikekalkan, manakala 24 lagi adalah pemain baharu yang dibarisi sembilan import dan 15 pemain tempatan.
“Sebelas daripada pemain tempatan ini adalah anak jati Kelantan,” kata Presiden K-TRW, Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, pasukan dibentuk semula dari bawah dan disusun dalam tempoh singkat dengan keutamaan kepada kemampuan kewangan semasa serta komitmen menyelesaikan hutang lampau.
“Pasukan ini bukan pasukan terkuat atau ‘dream team’. Ia dibina dengan bajet paling kecil kerana sebahagian besar digunakan untuk melunaskan hutang lama,” ujarnya.
Beliau berkata, meskipun persiapan agak mencabar, K-TRW tetap bersedia untuk memulakan aksi dalam Liga Super dan menyahut cabaran pasukan-pasukan lebih berpengalaman.
“Cabaran baru bermula. Namun ‘blueprint’ jangka panjang sedang diatur langkah demi langkah,” katanya lagi.
Tambahnya, kekuatan utama pasukan ini terletak pada semangat, ketahanan mental dan fizikal pemain serta sokongan penyokong setia yang sentiasa memberikan dorongan. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











