
KUALA TERENGGANU: PAS telah menggerakkan jentera parti ke beberapa kawasan tumpuan di Sabah sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada persiapan menyeluruh parti dalam membantu rakan-rakan di peringkat akar umbi negeri berkenaan.
“Buat masa ini, PAS telah turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu untuk membantu jentera tempatan sebagai persediaan menghadapi PRN.
“Saya percaya Perikatan Nasional (PN) turut mengambil pendekatan yang sama untuk terlibat dalam pilihanraya di negeri Sabah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan berkaitan bentuk kerjasama politik antara parti-parti dalam PN masih berlangsung dan keputusan muktamad dijangka diketahui tidak lama lagi.
“Keputusan akhir akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
Untuk rekod, penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar secara automatik pada 11 Nov ini dan pembubaran itu akan membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17). – HARAKAHDAILY 7/8/2025











