Fasa pertama Portal Jodoh Darul Iman untuk 500 peserta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu membuka penyertaan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) kepada 500 peserta bagi fasa pertama pelaksanaannya yang bermula bulan Ogos hingga hujung tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, penyertaan dalam fasa permulaan ini akan dijadikan asas penilaian untuk memperkemas sistem sebelum dikembangkan secara lebih meluas.

“Buat permulaan, kita buka penyertaan kepada 500 orang dahulu sehingga hujung tahun ini. Kita akan lihat kelemahan, ambil maklum balas dan buat penambahbaikan sebelum diperluas ke fasa seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran portal berkenaan di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut beliau, PJDI hanya terbuka kepada umat Islam dan sekurang-kurangnya salah seorang pasangan mestilah berasal dari Terengganu.

“Portal ini menyasarkan golongan bujang termasuk ibu dan bapa tunggal yang serius mencari pasangan hidup. Mereka perlu mendaftar dengan menggunakan maklumat sah termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan dan gambar sebenar bagi mengelakkan penyamaran.

“Kita telah tetapkan sistem tapisan awal. Sekiranya ada yang cuba menipu identiti, mereka akan disingkirkan daripada sistem,” jelasnya turut mengingatkan pengguna perlu mengisi maklumat lengkap termasuk latar pendidikan, pekerjaan, dan kriteria pasangan yang diinginkan.

Seterusnya, kata beliau, padanan akan dibuat oleh pentadbir portal, bukan secara automatik sepenuhnya.

“Sebaik sahaja terdapat padanan yang dirasakan sesuai, pasangan akan dihubungi dan dijemput ke sesi pertemuan rasmi yang dikawal oleh urus setia dan kaunselor.

“Kita tidak benarkan mereka berjumpa sendiri-sendiri. Pertemuan mesti berlangsung dalam suasana yang beradab dan terkawal, sesuai dengan nilai masyarakat dan agama,” katanya.

Tambah Maliaman, PJDI juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam menggalakkan perkahwinan sah dalam kalangan anak muda, sekali gus membantu mengurangkan gejala sosial dan menangani isu perkahwinan lewat.

“Bila anak muda berkahwin awal dan membina keluarga, secara tidak langsung kita dapat melambatkan proses menjadi negara tua,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -