
KUALA LUMPUR: Malaysia disaran segera meneroka industri Karbon Dioksida Removal (CDR) yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada agenda kelestarian serta menjana peluang pekerjaan baharu.
Bakri Jamaluddin (PN–Tangga Batu) mengemukakan pandangan demikian dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia memiliki kelebihan sumber biojisim sebanyak 182 juta tan setahun, namun masih belum memanfaatkan potensi tersebut secara optimum untuk pembangunan teknologi CDR yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
“Jika kita tidak bertindak segera, negara akan terlepas peluang pelaburan, penciptaan pekerjaan hijau dan pencapaian sasaran iklim,” tegas beliau.
Tambah beliau, lebih 20 juta tan EFB (Empty Fruit Bunch) dihasilkan setiap tahun berpotensi menjana 7 tan kredit karbon bernilai RM4.5 bilion setahun, dan boleh meningkat kepada RM10 bilion apabila digabungkan dengan sisa PKS (Palm Kernel Shell).
Malah, sisa-sisa ini mampu menyingkirkan lebih 15 juta tan karbon di atmosfera setahun, selain menghasilkan produk sampingan seperti biochar, cuka kayu dan tenaga hijau boleh baharu menerusi proses pirolisis.
“Setiap loji CDR mampu mewujudkan 25 hingga 35 pekerjaan langsung, dan 100 hingga 200 kerjaya tidak langsung. Jika 250 loji dibina, sebanyak 37,000 peluang pekerjaan boleh diwujudkan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar Kementerian Perladangan dan Komoditi memasukkan program CDR dalam pelan tindakan biojisim dan Dasar Bioekonomi Negara.
Di samping Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sayangnya, merangka dasar khusus bagi pengiktirafan CDR dalam Dasar Iklim Negara dan penyumbang kepada NDC (Nationally Determined Contribution) menjelang 2030.
Bakri turut menyarankan pembinaan loji-loji CDR di kawasan luar bandar bagi menarik pelaburan global bernilai RM18 hingga RM20 bilion, serta menjadikan model seperti di Denmark dan UK sebagai contoh terbaik.
Setakat ini katanya, Carbon Zero telah membangunkan tujuh tan loji CDR di Jeli, Kelantan sebagai perintis.
Getah merosot, reformasi industri lateks diperlukan
Dalam perbahasan sama, Bakri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan industri getah negara, meskipun Malaysia mempunyai 1.13 juta hektar tanaman getah, di mana 90 peratus diusahakan oleh pekebun kecil.
“Data Lembaga Getah Malaysia menunjukkan hasil pengeluaran kekal pada 1,400 kg sehektar. Negara sepatutnya mampu mengeluarkan 1.5 juta tan getah setahun, namun pada 2024 hanya mencatatkan 380,000 tan metrik, merosot jauh berbanding 500,000 tan pada 2020,” ujarnya.
Beliau menyatakan keperluan mendesak untuk meningkatkan pengeluaran lateks berbanding sekerap, sejajar dengan permintaan industri yang tinggi terhadap produk ‘electric concentrate’ (EC) iaitu sebanyak 215,000 tan, berbanding 13,000 tan untuk RSS dan 33,000 tan untuk RSMR.
Antara cadangan yang dikemukakannya bagi memperkasa industri getah dan hasil lateks ialah, memperluaskan penggunaan teknologi Ri-Hidrogen berasaskan gas asetilin, yang terbukti boleh meningkatkan hasil sehingga 30 peratus dan memanjangkan hayat pokok getah.
Juga membangunkan rangkaian fasiliti lengkap pemprosesan lateks dari peringkat ladang ke kilang dan menaikkan insentif pengeluaran lateks bagi menggalakkan pekebun kecil menghasilkan hasil bernilai tinggi.
Juga memperkenalkan mekanisme Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dua peringkat, bagi memberi ganjaran lebih tinggi kepada pekebun yang mencatat peningkatan hasil.
“Kita mesti segera mengatasi cabaran kebergantungan kepada import dan merebut peluang eksport, terutamanya ke pasaran Amerika Syarikat yang mengenakan tarif lebih tinggi kepada pesaing utama kita seperti Vietnam dan China,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











