Selesaikan isu pokok sawit tua, tanam semula perlahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) menegaskan perlunya satu intervensi segera dan agresif bagi menangani isu utama yang menghambat pertumbuhan sektor agro-makanan dan agro-komoditi negara.

- Advertisement -

Khususnya tegas beliau, berkaitan industri sawit di mana semakin terjejas akibat kebergantungan kepada pokok tua dan kadar penanaman semula yang perlahan.

Bakri menyatakan demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, walaupun RMK13 menyasarkan pertumbuhan tahunan 1.5 peratus dalam subsektor berkenaan dengan nilai eksport pertanian mencecah RM148.2 bilion menjelang 2030, namun sasaran itu sukar dicapai jika isu-isu struktur tidak ditangani.

“Tahun 2024 sahaja, industri sawit menyumbang sebanyak RM115 bilion kepada ekonomi negara dan ia terbukti menjadi penyelamat ketika krisis ekonomi 1998 dan juga semasa pandemik COVID-19.

“Tetapi hari ini, hasil tandan buah segar (TBS) tersekat sekitar 15 hingga 16 tan sehektar, jauh dari potensi sebenar,” ujar beliau yang juga Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Bakri, punca utama ialah jumlah pokok sawit tua semakin meningkat dan kekurangan tenaga kerja, selain kadar penanaman semula terlalu perlahan iaitu hanya sekitar 2 peratus setahun, berbanding keperluan 4 peratus setahun.

“Jika trend ini berterusan, menjelang 2027 kita akan berdepan dengan dua juta hektar pokok tua, atau 35 peratus daripada keseluruhan kawasan sawit negara. Ini akan menyebabkan hasil merosot dengan sangat ketara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan kerajaan dalam isu ini, menyatakan bahawa walaupun RM1.4 bilion diperuntukkan untuk penanaman semula sawit pekebun kecil dalam RMK13, hakikatnya hanya sekitar 0.7 peratus benar-benar sampai kepada sasaran.

Justeru, beliau menggesa agar Kementerian Kewangan memperluaskan elaun dan kos penanaman semula kepada sektor perladangan, selain memperkenalkan insentif khas kepada syarikat kecil dan sederhana melalui penggunaan semula kutipan ‘Windfall Profit Levy’.

Cadangan lain termasuk, mempermudah akses geran dan pinjaman penanaman semula untuk pekebun kecil, memperkenalkan ‘Replanting Set’ seperti dalam industri getah.

Juga cadangnya, meningkatkan keupayaan mekanisasi dan automasi melalui pusat Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Kelapa Sawit (MARCOP) dan meningkatkan peruntukan penyelidikan dan pendidikan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Kita ada ramai graduan, tetapi kita kekurangan tenaga pakar dalam bidang pertanian moden dan mekanisasi sawit. MARCOP perlu diperkasakan sebagai pusat tumpuan pelbagai disiplin, kejuruteraan AI dan teknologi.

“(Ia) agar penyelidikan yang bersifat komersil dan inovatif dapat menyelesaikan masalah kebergantungan kepada pekerja asing,” jelas Bakri.

Beliau juga menyarankan agar geran pendidikan kepada MPOB dinaikkan bagi mempercepat penghasilan teknologi baru yang mampu membuka peluang ekonomi baharu dan pekerjaan berkualiti tinggi dalam sektor pertanian negara. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -