Siasat telus insiden kematian pelatih program PALAPES

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menggesa agar siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung insiden kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi semasa menjalani latihan tahun lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, insiden tragis itu telah menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Program PALAPES ini sudah lama dijalankan di universiti-universiti tempatan sangat baik dan ramai anggota pelapis yang berjaya. Namun, insiden ini amat menyentuh hati kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan termasuk siasatan bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Pertamanya agar dilakukan siasatan menyeluruh, bebas dan telus, kedua pendedahan hasil berdasar dan laporan insiden juga hendaklah didedahkan secara telus kepada ahli keluarga ataupun juga kepada parlimen.

“Ketiga penambahbaik protokol kesihatan dan juga keselamatan, keempat kebajikan dan juga pampasan kepada keluarga mangsa,” ujarnya.

Mas Ermieyati berkata, kematian pelatih dalam program rasmi kerajaan tidak wajar dianggap sebagai kes terpencil atau insiden biasa.

“Kita tidak boleh hanya bertindak secara reaktif selepas tragedi berlaku. Sebaliknya, perlu ada langkah proaktif dalam menilai semula sistem dan modul latihan, serta memastikan perlindungan secukupnya kepada semua peserta sejak dari awal hingga tamat program,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -