Perlis perkukuh sistem sokongan kepada wanita

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus komited memperkasa golongan wanita menerusi pendekatan holistik meliputi sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan institusi kekeluargaan, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad.

- Advertisement -

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif digerakkan secara berterusan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perlis serta agensi berkaitan untuk memperkukuh sistem sokongan kepada kaum wanita di negeri ini.

Antara inisiatif utama ialah program LaWa On-The-Go yang menghimpunkan aktiviti kesedaran kesihatan seperti Rainbow Salad, Wanita Sihat Hidup Ceria dan Sulam Reben Kreatif, Jana Pendapatan Aktif bagi merangsang kesejahteraan hidup dan ekonomi wanita.

Selain itu, kemahiran digital dan keusahawanan turut diperkasa melalui program seperti Maxis e-Kelas Usahawan@JPW, Kelas Fotografi Asas Canon, serta Program KIRANA (Kemahiran Penjanaan Pendapatan) yang membuka ruang untuk pembangunan mikro dan kendiri.

“Aspek kesejahteraan emosi juga diberi perhatian menerusi program seperti Bipolar (Menyusuri Jalanan 2 Identiti), Mendidik dengan Ilmu (Kasih Ibu Tanpa Sempadan) dan Kesan Oversharing (Gangguan Lisan dan Visual),” jelas Wan Badariah.

Beliau menjelaskan demikian ketika menggulung perbahasan dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15, di sini semalam.

Dari sudut perundangan, beberapa program advokasi turut dijalankan bagi meningkatkan celik undang-undang dalam kalangan wanita seperti Cerai Luar Mahkamah (Konteks Wanita), Celik Hak (Tribunal Antigangguan Seksual TAGS) serta Ceramah Keganasan Rumah Tangga.

Beliau turut menyentuh tentang program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), yang menyasarkan penyertaan wanita muda dalam kepimpinan masyarakat dan sektor awam.

“JPW juga menyediakan perkhidmatan rujukan, aduan, pra-kaunseling serta bantuan pengurusan dokumen dan permohonan bantuan khas bagi memastikan tiada wanita yang tercicir daripada akses perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Dalam bidang kesihatan pula, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menyediakan saringan kesihatan seperti mamogram, HPV DNA dan Pap Smear secara percuma sebagai langkah pencegahan awal penyakit kritikal.

Wan Badariah (PN-Mata Ayer) turut memaklumkan beberapa sambutan akan dijadikan medan advokasi keluarga seperti Hari Bapa, Hari Penduduk Sedunia pada 11 Ogos dan Hari Keluarga Kebangsaan pada November nanti.

LPPKN juga menyediakan pelbagai program bimbingan kekeluargaan antaranya KASIH Remaja (Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial SRH), program Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI), serta kursus ilmu keluarga dan perancang keluarga (ujian Pap Smear) secara berkala.

Dalam usaha membina ekosistem keselamatan sosial yang lebih utuh, kerajaan negeri turut menyokong pelaksanaan Skuad WAJA dan Kempen EVAW (End Violence Against Women), termasuk memanfaatkan platform seperti Women’s Talk yang membincangkan hak wanita dari perspektif syariah dan perundangan.

Sebagai penghargaan kepada jasa ibu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2,000 bagi Anugerah Inspirasi Ibu 2025 Peringkat Negeri Perlis, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.

“Semua langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri membangunkan satu sistem sokongan menyeluruh dan berimpak tinggi buat wanita Perlis, mencakupi aspek kesihatan, ekonomi, perlindungan, pendidikan dan pembangunan keluarga,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -