
KUALA LUMPUR: Dashboard Nasional Penilaian Bilik Darjah dan Latihan Pembangunan Profesional (LPP) dicadang untuk dibangunkan bagi membolehkan prestasi pelajar dan guru dianalisis secara menyeluruh dan nyata.
Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan platform pentaksiran digital perlu diperluaskan terutama di kawasan luar bandar yang masih terpinggir dengan kemudahan teknologi maklumat.
“Sistem pentaksiran yang terlalu berorientasikan peperiksaan telah lama menjadi isu. RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) menggariskan pendekatan baharu yang menekankan pentaksiran formatif.
“Pembelajaran berasaskan projek dan penilaian menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Namun begitu, untuk menjayakan strategi ini, perlu ada sistem pemantauan bersepadu yang dapat menjejak dan menilai keberkesanan pentaksiran bilik darjah,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan sistem penilaian impak dan LPP turut dicadangkan, di mana penilaian terhadap guru dibuat berdasarkan keberkesanan pengajaran di bilik darjah dan bukan sekadar kehadiran dalam kursus semata-mata.
“Begitu juga cadangan mewujudkan standard ‘competency’ guru nasional harus dilaksana segera agar ia menjadi asas kepada laluan kerjaya, kenaikan pangkat dan pengiktirafan secara merit,” ujarnya.
Ahmad Fakhruddin dalam pada itu menyentuh tentang reformasi perundangan dan institusi yang menekankan keperluan mewujudkan keharmonian bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
Tegas beliau, isu pertindihan bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah itu ketika ini dilihat terus menjadi ‘duri dalam daging’ yang boleh menggugat kelancaran sistem perundangan negara.
“Kes-kes berprofil tinggi membabitkan pertukaran agama, penjagaan anak, harta sepencarian dan status perkahwinan telah memperlihatkan kegagalan sistem kita dalam menawarkan keadilan yang harmoni dan konsisten.
“Justeru, RMK13 dengan bijaknya menggariskan komitmen untuk menyelaraskan peruntukan perundangan antara kedua-dua mahkamah ini. Saya menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Khas Pelantikan Kehakiman ini.
“Sebagai satu inisiatif penting untuk memperkukuhkan integriti dan profesionalisme kehakiman syariah. Suruhanjaya ini wajar bertindak seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dalam sistem kehakiman sivil,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











