‘Kalau PMX mohon maaf, kita boleh selesaikan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, membangkitkan isu tuduhan yang dibuat Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terhadap Ahli Parlimen Pagoh berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu subsidi minyak petroleum.

Beliau menegaskan bahawa Ahli Parlimen Pagoh telah memberikan penjelasan secara terbuka dan berlapang dada, serta dengan ikhlas meminta supaya Perdana Menteri memohon maaf atas tuduhan tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa bezanya di antara pemimpin Perikatan Nasional dan pemimpin kerajaan yang ada. Saya sekali lagi ingin mengingatkan pada Yang Amat Berhormat Tambun, dah banyak kali kita bangkitkan isu prinsip berterus terang. Kalau salah, cakap salah,” ujarnya dalam sidang media di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut merujuk kes Ahli Parlimen Machang yang pernah dikenakan tindakan digantung enam bulan hanya kerana kerajaan menganggap kenyataan yang dibangkitkan sebagai tidak benar dan berunsur fitnah.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, Perdana Menteri sepatutnya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan melulu terhadap Ahli Parlimen lain, seolah-olah mereka tidak membuat kajian atau tidak mengikuti perkembangan.

“Kita tahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri banyak kerja. Jadi janganlah menuduh orang tak baca, tak mendengar, tak mengikuti, tak buat _‘homework’_. Ini dibawa dalam Dewan sendiri.

“Inilah imej Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Supaya kalau boleh, perbetulkan imej ini dengan memohon maaf. Itu kalau dia mohon maaf, kita okey, kita boleh selesaikan,” gesanya.

Beliau turut menyentuh jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian ketika isu itu dibangkitkan semula oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional, termasuk kenyataan yang menyebut bahawa ia bukan isu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi isu Speaker.

“Tadi bila dibangkitkan isu ini oleh rakan-rakan saya dalam Parlimen terhadap menteri menjawab soalan ini, dia jawab juga, dia kata ini sebenarnya bukan isu MCMC, ini isu Speaker. Dia jawab sendiri tadi.

“Timbalan Menteri menjawab dan tadi pun Pagoh telah menegaskan seperti apa yang dikatakan dalam MCMC, ada dia keluarkan kenyataan ‘kalau tak pasti jangan kongsi’,” ulasnya.

Katanya lagi, suasana perbahasan seharusnya berjalan dengan baik dan tertib tanpa sebarang penipuan, tuduhan melulu atau penyalahgunaan kedudukan yang boleh mengelirukan rakyat di seluruh negara.

“Jadi, kasi bagus semua ini. Datuk Seri Ronald (Kiandee) suka cakap, jadi kita bagi semuanya berjalan baik, bagus. Jangan berbohong, jangan menuduh, jangan salah menggunakan kedudukan sehingga mengelirukan rakyat di seluruh negara,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -