
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sedia memaafkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempertahankan warga asing untuk menikmati subsidi RON96.
Namun katanya, sekiranya Ahli Parlimen Tambun itu tetap dengan pendirian tidak mahu berbuat demikian, beliau tidak teragak-agak untuk membawa Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.
“Ok, jadi saya cuma nak minta satu perkara daripada Yang Amat Berhormat Tambun agar buat kenyataan memohon maaf, tarik balik kenyataan, saya ini rela, saya akan terima maafnya sekarang juga, ini saya sebutkan.
“Tetapi saya nak beritahu juga kalau Yang Amat Berhormat Tambun tak nak minta maaf, saya akan bawa perkara ini kepada Yang Berhormat Tan Sri Speaker di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) dalam tempoh lima tahun, bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Muhyiddin juga keliru kenapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah untuk menyiasat beliau sedangkan kenyataan tersebut dibuat oleh pemimpin nombor satu negara.
Malah beliau berkata, arahan tersebut merupakan satu lagi tindakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan hari ini kerana ia membabitkan masalah peribadi selain kenyataan tidak benar serta tuduhan yang berbaur fitnah.
Beliau berkata, kesilapan yang dilakukan oleh Tambun perlu diperbetulkan, apatah lagi kenyataan itu tidak boleh pandang mudah kerana ia diungkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat, badan tertinggi dalam negara.
“SKMM mesti siasat dahulu apa yang beliau (Perdana Menteri) buat, sekarang ini mengarahkan SKMM supaya buat siasatan, saya pun keliru, saya pun tidak faham siapa yang dia nak siasat, siasat diakah atau siasat saya.
“Saya nak maklum pada Tan Sri Speaker saya dapat maklumat hari ini SKMM panggil saya untuk disiasat, dia kata nak ambil keterangan saya sebagai saksi, saya nak tanya SKMM dah siasat tambun atau tidak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Anwar pada Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang dituduh mempersoalkan tindakan kerajaan mempertahankan warga asing dalam isu subsidi RM95.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Menteri Kewangan itu menjelaskan secara jelas siapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang berbuat demikian. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











