
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai strategi pembayaran balik hutang negara yang kini sudah mencecah hampir RM1.5 trilion dengan liabiliti luar jangka melebihi RM384 bilion.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan sebanyak RM470 bilion bagi membiayai pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau mempersoalkan adakah kerajaan membiayai RMK13 dengan hutang baru yang bakal menambahkan beban fiskal negara ketika unjuran hasil negara hampir sepenuhnya digunakan untuk perbelanjaan mengurus.
“Hutang kini mencecah RM1.5 trilion dan liabiliti melebihi RM384 bilion, sekiranya kerajaan meneruskan rancangan untuk menambah hutang maka jumlah hutang negara berisiko mencecah RM2 trilion.
“Soalannya ialah apakah pelan pembayaran balik semua hutang ini, apakah aset negara akan dicagar atau pun dijual kepada pihak di luar, apakah dana strategik negara akan dijadikan sasaran mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan mengenai pelaksanaan RMK13 dalam tempoh lima tahun, bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut membangkitkan kos sara hidup yang semakin menghimpit biarpun kerajaan mengumumkan pelbagai bantuan kewangan bagi menangani situasi tersebut.
Beliau berkata, ada kajian dilakukan mendapati kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah berpunca pendapatan tidak seimbang dengan harga barangan.
Menurutnya statistik terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi isi rumah di Malaysia pada 2023 adalah sekitar RM4,729 sebulan.
Namun kata beliau, pendapatan bulanan bagi pekerja formal hanya sekitar RM2,600 sehingga RM2,900 bagi suku ketiga tahun 2023 dan amat menyukarkan bagi golongan yang tinggal di kawasan perbandaran maju.
“Kadar ini adalah lebih teruk di kawasan bandar purata PAKW di bandar mencecah RM5,400 sebulan, bayangkan jurang hampir RM2,000 sebulan hanya untuk hidup wajar bukan hidup mewah, Tan Sri Yang Dipertua.
“Saya berharap kerajaan meneliti semula masalah ini, bukan sekadar kawal harga barang atau inflasi, tetapi tingkatkan pendapatan rakyat dan kurangkan beban cukai yang terpaksa ditanggung rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











