
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menyatakan kebimbangannya terhadap agenda Bumiputera yang terpinggir dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibentangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Beliau berkata, hasrat itu menjadi dasar pembangunan dalam setiap rancangan Malaysia bagi lima tahun akan datang dengan strategi ‘pendekatan berasaskan kaum’, berbanding ‘pendekatan berasaskan keperluan’.
Namun katanya, kerajaan hari ini memilih menggunakan pendekatan berasaskan keperluan sedangkan asas pembangunan lain termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan sebagainya menggunakan kaedah tersebut.
“Saya tidak menolak pendekatan berasaskan keperluan, mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan mesti dibantu tanpa mengira kaum, agama, kelas sosial dan juga wilayah yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Tetapi pendekatan berasaskan keperluan ini tidak boleh mengantikan sepenuhnya dasar yang meletakkan agenda Bumiputera sebagai dasar teras negara ini kerana jurang ekonomi antara kaum masih membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan mengenai pelaksanaan RMK13 dalam tempoh lima tahun, bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut mempersoalkan nasib dasar berkaitan Bumiputera yang lain sekiranya kerajaan tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan pendekatan berasaskan keperluan dalam RMK13.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini merangka pelbagai dasar termasuk Dasar Pembangunan Usahawan Bumiputera, Dasar Ekuiti Bumiputera dan sebagainya untuk melahirkan lebih ramai profesional dari kalangan Bumiputera.
“Jika inilah keadaannya RMK13 ini akan menjadi titik hitam dalam sejarah dasar pembangunan negara yang kesan buruknya akan dirasai oleh seluruh kaum Bumiputera yang ada pada hari ini sehingga generasi akan datang.
“Justeru saya cadangkan dasar berasaskan keperluan wajar dilaksanakan bersekali dengan agenda Bumiputera sebagai dasar teras negara kita, kedua-dua dasar ini hendaklah dibuat dengan izin ‘co exist’,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











