
KUALA TERENGGANU: Rakyat diseru agar menghayati semangat kemerdekaan dalam erti sebenar dan tidak hanya menjadikan bulan Ogos sebagai simbolik kepada semangat patriotisme semata-mata.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sambutan Hari Kebangsaan perlu menjadi medan untuk memperkukuh perpaduan nasional serta menyemai semula nilai cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.
“Patriotisme bukan hanya wujud pada bulan Ogos, namun seharusnya berakar umbi dalam setiap tindakan harian kita seumpama menghormati undang-undang, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai identiti dan jati diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurutnya, pengorbanan wira negara dalam mencapai kemerdekaan tidak harus dilupakan, malah perlu menjadi iktibar kepada generasi kini untuk terus mempertahan kedaulatan negara.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum tarikh 31 Ogos 1957 telah menyaksikan detik bersejarah kepada negara kita apabila Jalur Gemilang dikibarkan buat pertama kali di negara tercinta ini sebagai suatu lambang kemerdekaan.
“Di sebalik kibaran tersebut, tersemat pengorbanan dan usaha gigih wira-wira tanah air yang mempertaruhkan segala yang mereka miliki untuk mempertahan kedaulatan negara kita,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk menolak sebarang bentuk diskriminasi dan terus memperkukuh semangat kebersamaan demi kesejahteraan bersama.
“Jalur Gemilang mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian iaitu Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain yang berada dalam negara kita ini yang sentiasa berganding bahu di bawah satu kibaran.
“Saya mengajak semua untuk sama-sama kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan menolak segala bentuk diskriminasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada agensi berkaitan untuk meneliti perkara itu.
“Saya sendiri hairan mengapa isu ini kerap berlaku kebelakangan ini. Saya ingat dahulu tidak begitu timbul perkara perkara sebegini mungkin dengan tiadanya media sosial sebagaimana 10, 20 tahun dahulu. Mungkin perkara ini tidak di uar-uarkan.
“Apa pun, kita percaya bahawa setiap agensi dan individu yang berada dalam negeri dan negara kita perlu lebih cermat dan ini merupakan satu langkah yang boleh dibuat semua pihak bagi memastikan supaya tidak berlaku lagi kesilapan yang sedemikian,” katanya.
Ditanya sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada pertimbangan dan tindakan sewajarnya oleh semua pihak yang terlibat.
“Kita percaya kepada kebijaksanaan semua pihak untuk ambil langkah sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











