
GEORGE TOWN: Kerajaan Madani sekali lagi membuktikan bahawa retorik dan janji yang dilaungkan sebelum berkuasa kini sebaik sahaja memegang tampuk kuasa, semua itu hanya tinggal sejarah, bidas Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid.
Meskipun dahulu galak melaung-laungkan agenda pendidikan percuma demi meringankan beban anak muda, kini bukan sahaja dasar itu dilupakan, bahkan hak mahasiswa cemerlang untuk menukar pinjaman kepada biasiswa juga dikhianati.
Beliau menyelar tindakan kerajaan yang masih gagal membuka portal permohonan penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi graduan Ijazah Kepujian Kelas Pertama.
“Menurut laporan The Star, portal ini masih belum dibuka sejak beberapa bulan lalu. Lebih membimbangkan, tiada sebarang tarikh kelulusan diumumkan hingga kini,” ujarnya.
Katanya lagi, situasi ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap mahasiswa yang telah membuktikan kecemerlangan akademik mereka dengan penuh usaha dan pengorbanan.
“Ini satu pengkhianatan besar-besaran terhadap mahasiswa cemerlang. Mereka telah berusaha gigih dan memenuhi syarat yang ditetapkan, tetapi akhirnya kerajaan sendiri mengkhianati janji,” tegasnya.
Beliau turut membidas sikap kerajaan yang dianggap tidak konsisten serta membelakangi dasar sedia ada yang sekian lama menjadi insentif kepada pelajar pintar.
“Dasar pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pemegang Ijazah Kepujian Kelas Pertama telah lama diamalkan di bawah kerajaan terdahulu. Ia adalah bentuk penghargaan terhadap usaha gigih mahasiswa.
“Tetapi kini, dasar itu seperti dikuburkan secara senyap-senyap oleh Kerajaan Madani,” katanya lagi.
Tambah beliau, penutupan portal tanpa sebarang kenyataan rasmi dan kegagalan menetapkan tarikh permohonan telah menimbulkan banyak persoalan serta kecurigaan.
“Adakah ini satu petanda bahawa kerajaan secara halus sedang memansuhkan dasar ini? Atau adakah PTPTN kini dijadikan perangkap hutang jangka panjang kepada anak muda negara?” soal Anas.
Menurutnya lagi, slogan-slogan besar seperti reformasi institusi dan konsep Madani kini mula kelihatan tidak lebih daripada sekadar gimik politik.
“Apakah ini wajah sebenar Kerajaan Madani? Apakah ini erti sebenar reformasi yang dicanang? Dasar pendidikan ditangguhkan? Kecemerlangan tidak dihargai? Rakyat pasti sedang menilai.
“Jika janji semudah ini pun tidak ditepati, bagaimana mungkin rakyat boleh mempercayai janji-janji besar yang lain?” katanya.
Mengulas lanjut, Anas turut membandingkan keutamaan perbelanjaan negara dengan nasib mahasiswa cemerlang yang terus terabai.
“Kerajaan sanggup berbelanja berbilion ringgit dalam pelbagai sektor, tetapi pelajar cemerlang yang mahu menyumbang kepada negara dipinggirkan.
“Apa makna semua ini? Ini bukan lagi keutamaan rakyat, ini adalah kerakusan kuasa yang membungkus janji palsu dalam retorik Madani,” ujarnya.
Beliau menyeru agar rakyat khususnya golongan muda terus cakna dan menuntut hak serta janji yang pernah diikrarkan oleh kerajaan hari ini.
“Jangan biarkan janji tinggal janji. Mahasiswa dan rakyat berhak mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya. Masa depan negara tidak boleh digadai dengan helah politik semata-mata,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











