Johor jadi tumpuan dunia melalui BRJIM 2025

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyambut baik penganjuran Bank Rakyat Johor International Marathon (BRJIM) 2025 yang bakal berlangsung pada 8 hingga 9 November depan di ibu negeri ini.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (DACS) DPPNJ, Muhd Amin Sailan berkata, acara bertaraf antarabangsa itu berpotensi melonjakkan nama Johor dalam kalendar pelancongan sukan.

Malah beliau optimis, penganjurannya turut memberi nilai tambah kepada gaya hidup sihat rakyat negeri ini, khususnya golongan belia.

“Sebagai sayap yang memperjuangkan pembangunan sukan, kesenian dan budaya sihat di peringkat akar umbi, DACS DPPNJ melihat inisiatif ini sebagai peluang untuk menggalakkan penyertaan belia Johor.

“Termasuk atlet rekreasi dan komuniti aktif, untuk menyertai acara maraton yang membentuk disiplin, ketahanan diri dan semangat juang.

“Selain itu, ia juga menanam budaya hidup sihat melalui sukan, di mana aktiviti larian merupakan antara bentuk senaman yang mudah dan mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Menurut beliau lagi, penganjuran BRJIM juga dilihat menyokong usaha memartabatkan Johor sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa, selaras dengan pelan Johor Sports Nation 2030 yang menggabungkan pembangunan belia, ekonomi dan pelancongan secara mampan.

DPPNJ turut mengalu-alukan penglibatan lebih ramai anak muda, kelab sukan komuniti dan NGO belia untuk menjadikan acara itu bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah festival kesihatan dan semangat kebersamaan rakyat Johor.

Dalam pada itu, Muhd Amin turut mengingatkan agar aspek syariah tidak diabaikan dalam aktiviti sukan yang dianjurkan, antaranya menjaga aurat, tidak memakai pakaian ketat melekap pada tubuh, menghormati waktu solat bagi umat Islam serta memelihara kebersihan kawasan acara.

“DPPNJ mendoakan agar penganjuran BRJIM 2025 berjalan lancar dan memberi impak positif yang berkekalan kepada negeri dan bangsa Johor tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2025

- Advertisement -