
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS tidak boleh hanya menjadi pengisi tempat duduk dalam program rasmi semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pelapis negara dan agen perubahan yang menggerakkan agenda Islam untuk masa depan.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, untuk memainkan peranan sebenar sebagai pewaris kepimpinan, Pemuda PAS mesti melangkaui semangat semata-mata.
“Pemuda perlu menguasai ilmu pengurusan dan pentadbiran, memahami cara mengurus organisasi, mentadbir institusi dan pada akhirnya memimpin negara.
“Dengan kefahaman ini, agenda Islam dapat dibawa dengan kemas dan tersusun, bukan sekadar laungan kosong. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, hari ini.
Menurut beliau lagi, keyakinan diri turut menjadi faktor penting dalam membina pemuda yang mantap iaitu keyakinan terhadap potensi diri, perjuangan Islam dan janji Allah SWT.
Beliau turut memetik ayat daripada Surah Ali ‘Imran ayat 139 yang bermaksud, “Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang beriman.”
Mengulas lanjut, Ustaz Hanif turut menegaskan bahawa dalam medan perjuangan sebenar, Pemuda tidak boleh bersikap reaktif, sebaliknya perlu berfikir secara strategik.
“Rancang gerak kerja dengan bijaksana, nilai kekuatan dan kelemahan serta fikir jauh ke hadapan. Ini semua asas penting dalam memacu perubahan,” katanya.
Tambah beliau, untuk menggalas tanggungjawab besar ini, bukan bakat semata-mata yang diperlukan, tetapi juga kesanggupan untuk berkorban masa, tenaga dan keselesaan.
“Ramai yang berbakat, tetapi tidak semua sanggup berkorban,” ujarnya.
Justeru beliau menyeru agar Pemuda PAS bangkit sebagai penggerak utama perubahan, melangkah dengan ilmu, strategi dan keyakinan yang teguh.
“Masa depan negara dan perjuangan Islam sedang menanti kalian,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











