Bina rumah selesa, perkhidmatan digital diperkasa

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis komited memastikan setiap rakyat negeri ini memiliki kediaman mampu milik, selesa dan selamat melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri secara berterusan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital, Ustaz Asrul Aimran Abdul Jalil berkata, perumahan bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi tapak kasih sayang, pembentukan keluarga dan masa depan rakyat.

“Rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi tapak Iahirnya kasih sayang, tempat anak dibesarkan dan masa depan dibentuk. Kita tekad memperkasakan Dasar Perumahan Negeri, memastikan setiap warga Perlis mampu miliki kediaman yang mampu milik, selesa dan selamat.

“Tiada rakyat Perlis yang terbiar tanpa bumbung kasih di atas kepala mereka,” tegasnya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15 di sini, kelmarin.

Dalam aspek kerajaan tempatan, beliau menegaskan usaha menaik taraf sistem kutipan sisa pepejal, meningkatkan kebersihan, mempercepatkan pendigitalan sistem permohonan dan aduan, selain menaik taraf pasar, taman serta kemudahan awam.

Katanya, langkah itu selari dengan hasrat membina ekosistem kehidupan bersih, hijau dan lestari serta menjadikan Majlis Perbandaran Kangar sebagai pihak berkuasa tempatan yang mesra rakyat, responsif dan cekap.

“Kerajaan tempatan ialah wajah pertama sebuah kerajaan yang dilihat rakyat,” ujarnya turut mengulas agenda pendigitalan negeri yang ditegaskannya Perlis tidak boleh ketinggalan dalam arus teknologi dan dunia maya.

Dengan peruntukan strategik dan kerjasama industri katanya, agenda pendigitalan negeri akan digerakkan secara kolektif bagi mempercepat penyampaian maklumat, meningkatkan ketelusan dan memudahkan suara rakyat didengari.

“Dunia hari ini bukan Iagi sekadar dunia nyata, kita kini berlayar di lautan digital. Maka Perlis tidak boleh ketinggalan. Dengan peruntukan strategik dan kerjasama industri, kita gerakkan agenda Pendigitalan Negeri Perlis secara kolektif.

“Dengan teknologi, maklumat sampai lebih pantas, perkhidmatan lebih telus, suara rakyat lebih didengari,” katanya.

Ustaz Asrul (PN-Kayang) turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengambil bahagian dalam perbahasan serta mengemukakan pandangan berkaitan portfolio beliau termasuk isu garis panduan pelantikan Jawatankuasa RIBI, harga jualan rumah dan tempoh maklum balas aduan.

“Semoga segala usaha kita, walau kecil atau besar, disemat dengan keikhlasan, dan dicatat oleh Tuhan sebagai amal soleh yang membawa manfaat dunia dan akhirat.

“Dari utara yang kecil dan bersih ini, kita bina harapan besar untuk Malaysia Sejahtera,” katanya mengakhiri ucapan. – HARAKAHDAILY 8/8/2025

- Advertisement -