UniSHAMS Edu Fest di Aman Central, 24-27 Jul

- Advertisement -

ALOR SETAR: UniSHAMS Edu Fest 2025 merupakan satu inisiatif bermanfaat dalam memberi pendedahan dan maklumat penting kepada masyarakat, khususnya pelajar lepasan sekolah, berkaitan peluang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, setiap pempamer terlibat dalam karnival ini diseru agar menyantuni para pengunjung dengan penuh hemah, termasuk anak-anak kampung yang datang dari jauh untuk mendapatkan maklumat mengenai pengajian tinggi.

“Kalau kita lihat di universiti lain, para pensyarah mereka memiliki PhD. Begitu juga di UniSHAMS, malah ada profesor dan pensyarah berkelayakan tinggi. Kualiti pengajaran juga dipantau oleh MQA,” katanya pada Majlis Perasmian UniSHAMS Edu Fest 2025 di Ruang Legar South Atrium, Aman Central, semalam.

Ujarnya, universiti perlu bersaing secara sihat dan menyediakan perkhidmatan yang setanding dengan universiti awam lain agar anak negeri Kedah mendapat manfaat sepenuhnya daripada institusi pendidikan Islam tersebut.

Tambah beliau, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan anak Kedah bersedia menyertai pelbagai sektor industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Hari ini, di Kulim Hi-Tech Park sahaja sudah ada 43,000 tenaga kerja. Menjelang 2026, jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 80,000 hingga 85,000.

“Justeru, UniSHAMS perlu menjalin kerjasama dengan Invest Kedah untuk mengenal pasti keperluan semasa industri dan menyelaraskan program pengajian mengikut keperluan tersebut,” katanya.

Karnival UniSHAMS Edu Fest 2025 berlangsung dari 24 hingga 27 Julai 2025, menawarkan pelbagai program menarik seperti taklimat kemasukan, sesi kaunseling akademik, pameran kursus serta pengeluaran surat tawaran kemasukan kepada pelajar yang layak.

Karnival ini terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berminat menyambung pengajian dalam bidang pengajian Islam, undang-undang syariah, perniagaan dan lain-lain yang ditawarkan UniSHAMS. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -