
JOHOR BAHRU: Kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang menegur penjawat awam agar tidak menyertai Himpunan Turun Anwar dijadualkan esok, dilihat sebagai satu cubaan menyekat hak asasi rakyat untuk bersuara secara aman dan berhemah.
Ketua Muslimat PAS Negeri Johor, Zakiah Tukirin berkata, penjawat awam bukan lagi pemerhati bisu, sebaliknya adalah tulang belakang keluarga, pekerja berdedikasi, dan seorang rakyat yang menanggung beban kos sara hidup semakin menghimpit.
“Anda juga berhak menyuarakan keresahan, ketidakadilan dan kegagalan pentadbiran yang menjejaskan kehidupan seharian. Dahulu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berdiri paling hadapan mengkritik kerajaan kerana menyekat hak rakyat untuk berhimpun.
“Termasuk penjawat awam, mengapa kini setelah menjadi pemerintah, prinsip itu berubah? Atau adakah reformasi itu hanya untuk masa susah, tetapi dilupakan bila sudah berkuasa?” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, wanita di Malaysia, termasuk penjawat awam wanita, tidak seharusnya ditakut-takutkan dengan doktrin kesetiaan yang disalah tafsir, kerana kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan bermakna membisu terhadap ketidakadilan.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menyeru seluruh wanita, khususnya para muslimat dan penjawat awam, agar terus tegar menyuarakan kebenaran dan menolak pentadbiran yang gagal memahami denyut nadi rakyat.
“Jangan takut. Jangan diam. Bangkitlah dengan hikmah dan berani,” katanya sebagai reaksi kenyataan KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar Bakar mengingatkan penjawat awam untuk tidak menyertai acara himpunan berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka.
Menurut beliau, adalah tidak wajar penjawat awam menyertai himpunan itu kerana ia tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











